Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Sentimen Lemah Pelabur
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Rabu, apabila kadar hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang tinggi dan penurunan saham teknologi telah menjejaskan sentimen pelabur, kata seorang penganalisis.
Bagaimanapun, kenaikan dalam saham penjagaan kesihatan dan telekomunikasi memberikan sedikit sokongan kepada pasaran tempatan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.04 mata atau 0.12 peratus kepada 1,731.32 daripada paras penutup 1,733.36 pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah turun 1.39 mata kepada 1,731.97, bergerak turun naik antara paras 1,725.95 dan 1,733.44 sepanjang hari dagangan.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 701 berbanding 478, manakala 563 kaunter tidak berubah, 1,131 tidak diniagakan dan 16 digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 3.31 bilion unit bernilai RM2.92 bilion daripada 3.74 bilion unit bernilai RM2.91 bilion pada Selasa.
Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata penurunan saham yang mencatatkan pertumbuhan pesat terutamanya dalam kaunter teknologi, mencerminkan tekanan baharu ke atas saham bernilai tinggi apabila hasil bon AS bergerak lebih tinggi.
Beliau berkata harga minyak mentah yang kekal tinggi melebihi US$90 setong, menambahkan lagi kebimbangan terhadap inflasi global dan jangkaan kadar faedah.
"Hasil Perbendaharaan AS 30 tahun meningkat secara mendadak kepada 5.336 peratus pada Selasa, paras tertingginya sejak 2007, sebelum turun semula kemudiannya pada sesi tersebut," katanya.
Sementara itu, di Bursa Malaysia, Mohd Sedek berkata situasi hasil AS yang tinggi dan kenaikan harga minyak boleh terus menjejaskan kaunter teknologi dan kaunter lain yang berorientasikan pertumbuhan manakala komposisi pasaran yang agak defensif mungkin memberikan sedikit daya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM10.64, Public Bank menambah empat sen kepada RM5.15 dan IHH Healthcare meningkat 15 sen kepada RM8.30, manakala CIMB Group susut empat sen kepada RM7.91 dan Tenaga Nasional turun dua sen kepada RM14.40.
Dalam kalangan saham paling aktif, Zetrix AI meningkat dua sen kepada 65.5 sen, JAKS Resources susut satu sen kepada 12 sen, Pentech Holdings naik 2.5 sen kepada 31.5 sen, Nexgram Holdings tidak berubah pada enam sen, dan AirAsia Group berkurangan tujuh sen kepada 91.5 sen.
Dalam kalangan kaunter paling untung, Batu Kawan dan Dutch Lady Milk Industries menambah 44 sen masing-masing kepada RM21.00 dan RM31.94, Nestle meningkat 30 sen kepada RM104.00, manakala Malayan Cement dan Ayer Holdings naik 25 sen masing-masing kepada RM6.60 dan RM7.50.
Dalam kalangan saham paling rugi Malaysian Pacific Industries susut RM1.92 kepada RM46.10, United Plantations turun 60 sen kepada RM32.00, Mi Technovation berkurangan 20 sen kepada RM6.25, manakala SD Guthrie dan Johor Plantations menyusut 17 sen masing-masing kepada RM6.54 dan RM1.88.
Dalam kalangan indeks utama, Indeks FBM ACE meningkat sedikit sebanyak 1.54 mata kepada 5,302.72, Indeks FBM 70 susut 77.39 mata kepada 18,134.27 manakala Indeks FBM Emas Shariah merosot 31.61 mata kepada 12,635.13.
Indeks FBM Top 100 berkurangan 24.67 mata kepada 12,619.87 manakala Indeks FBM Emas susut 24.96 mata kepada 12,804.74.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.12 mata kepada 189.55, Indeks Tenaga susut 0.94 mata kepada 777.47, Indeks Perladangan turun 95.52 mata kepada 9,281.15 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 15.65 mata kepada 20,292.35.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.74 bilion unit bernilai RM2.57 bilion daripada 2.01 bilion unit bernilai RM2.53 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 961.33 bilion unit bernilai RM137.63 juta daripada 1.10 bilion unit bernilai RM151.69 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menurun kepada 607.41 juta unit bernilai RM216.59 juta daripada 631.13 juta unit bernilai RM222.14 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 235.43 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (366.58 juta), pembinaan (143.27 juta), teknologi (442.38 juta), perkhidmatan kewangan (65.52 juta), hartanah (122.44 juta), perladangan (72.88 juta), amanah pelaburan hartanah (14.64 juta), dana tertutup (172,100), tenaga (69.21 juta), penjagaan kesihatan (98.22 juta), telekomunikasi dan media (24.87 juta), pengangkutan dan logistik (50.78 juta), utiliti (38.24 juta), dan amanah perniagaan (13,000).
-- BERNAMA