Kementerian Kewangan Akan Teliti Cadangan Sistem Cukai Hibrid GST-SST
PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kewangan akan diberikan masa untuk menjalankan kajian penuh mengenai cadangan kerajaan untuk menggabungkan elemen Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata laporan itu akan dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk perbincangan lanjut.
“Ini masih di peringkat awal dan Kementerian Kewangan diberi masa memandangkan ia bukan satu perkara yang boleh dilakukan secara terburu-buru dan melibatkan aspek-aspek pengajaran daripada pelaksanaan sistem GST, isu-isu dihadapi berdasarkan sistem SST waktu ini.
“Jadi perkara-perkara ini akan dipertimbang oleh Kementerian Kewangan sebelum dibawa untuk dibincang dan diputus di Jemaah Menteri,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai keperluan Kementerian Kewangan, khususnya Menteri Kewangan II untuk menjalankan kajian penuh mengenai cadangan sistem percukaian hibrid SST-GST itu.
Ditanya sama ada Perdana Menteri menetapkan tempoh tertentu bagi laporan itu disiapkan dan sama ada perkara berkenaan akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan yang akan datang, Fahmi berkata perkara tersebut tidak dimaklumkan di dalam mesyuarat hari ini.
Semalan, Anwar dilaporkan berkata kerajaan bersedia untuk mengkaji cadangan menggabungkan elemen GST dengan SST untuk memastikan sistem percukaian negara yang lebih progresif.
Bagaimanapun beliau berkata Malaysia masih akan mengekalkan SST sebagai sistem percukaian negara, namun akan dipertimbangkan sekiranya terdapat beberapa ciri (dalam GST) yang boleh diterima.
-- BERNAMA