Untung Bersih Gas Malaysia Susut Kepada RM72.52 Juta Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Gas Malaysia Bhd mencatatkan penurunan untung bersih kepada RM72.52 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2026 daripada RM99.12 juta pada suku yang sama tahun lepas, susulan hasil lebih rendah berikutan penurunan harga jualan purata gas asli.

Hasil bagi suku tersebut turut merosot 12.1 peratus kepada RM1.58 bilion daripada RM1.80 bilion pada suku yang sama tahun lepas, terutamanya disebabkan harga jualan purata gas asli yang lebih rendah, namun sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan jumlah gas asli yang dijual.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2026, untung bersih Gas Malaysia susut kepada RM165.36 juta daripada RM199.25 juta pada tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil turun kepada RM3.17 bilion daripada RM3.64 bilion.

Ad Banner

Gas Malaysia memaklumkan bagi baki tahun kewangan ini, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi, pengurusan kos secara berdisiplin dan pengukuhan daya saing.

“Selaras dengan hala tuju strategik jangka panjang menerusi Program Transformasi GM32, kumpulan akan terus menilai dan meneroka secara terpilih peluang dalam segmen perniagaan baharu bagi menyokong pertumbuhan mampan dalam jangka sederhana hingga panjang.

“Walaupun inisiatif ini mungkin memerlukan pelaburan dan perbelanjaan tambahan dalam tempoh terdekat, kumpulan kekal komited terhadap pengurusan kewangan berhemat dan daya tahan operasi,” menurut Gas Malaysia dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat menjangkakan prestasi kewangan yang memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2026, namun kekal berwaspada terhadap ketidaktentuan ekonomi dan pasaran semasa.

Gas Malaysia turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak lima sen sesaham berjumlah RM64.20 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2026, yang akan dibayar pada 6 Nov 2026.

-- BERNAMA