Niaga Hadapan MSM Ditutup Lebih Tinggi Menjejaki Kenaikan Minyak Kacang Soya Di CBOT

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Rabu, menjejaki kenaikan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT). 

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng memberitahu Bernama bahawa harga minyak mentah yang lebih kukuh di tengah-tengah konflik berterusan antara Amerika Syarikat (AS)-Iran turut memacu sentimen pasaran. 

Ad Banner

“Kebimbangan bahawa keadaan cuaca berkaitan El Niño yang boleh mengurangkan pengeluaran minyak sawit turut meningkatkan jangkaan mengenai bekalan yang lebih terhad. 

“Selain itu, pasaran luaran yang lebih kukuh dan kebimbangan mengenai pengeluaran terus mengukuhkan pasaran MSM,” katanya.

Ng juga menjangkakan paras harga sokongan melebihi RM4,850 setan, dengan paras rintangan pada RM4,980.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata kemungkinan El Niño, yang biasanya membawa keadaan yang lebih kering dan panas, hingga mencecah kategori ‘sangat kuat’ atau ‘Super El Niño’ antara Oktober dan Disember telah meningkat kepada lebih 90 peratus. 

Pada penutup, kontrak September 2026 meningkat RM38 kepada RM4,654 setan, Oktober 2026 menokok RM40 kepada RM4,794 setan, dan November 2026 menambah RM33 kepada RM4,893 setan.

Kontrak Disember 2026 meningkat RM29 kepada RM4,972 setan, Januari 2027 mengukuh RM26 kepada RM5,033 setan, dan Februari 2027 menambah RM23 kepada RM5,071 setan.

Jumlah dagangan merosot kepada 142,285 lot daripada 165,588, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 336,503 kontrak daripada 333,655 sebelumnya. 

Harga MSM fizikal bagi September Selatan meningkat sebanyak RM30 kepada RM4,640 setan. 

-- BERNAMA