BERITA TERKINI   Jerebu: Semua sekolah di daerah Kuching, Padawan, Serian dan Samarahan di Sarawak ditutup serta-merta hari ini dan esok - JPNS | Malaysia tolak pelaburan Pelabuhan Klang dalam gudang, aktiviti transit tanpa manfaat pekerjaan dan ekonomi - PM Anwar | Kerajaan terbuka untuk menambah baik SST, guna pakai beberapa komponen GST tetapi menolak cukai terhadap rakyat termiskin secara menyeluruh - PM Anwar | Kerajaan akan teliti pemohon pelaburan baharu untuk memastikan manfaat ekonomi dan pekerjaan - PM Anwar | Jualan Ehsan Rahmah dalam talian akan diadakan pada 9 Sept sempena sambutan Hari Malaysia 2026 - PM Anwar | 

Ringgit Mengukuh Susulan Tekanan Hutang AS, Jangkaan Kenaikan Kadar Faedah Reda

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid & Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Khamis berikutan kebimbangan terhadap peningkatan hutang kerajaan Amerika Syarikat (AS) memberi tekanan kepada dolar AS, sekali gus meredakan jangkaan kenaikan kadar faedah AS, kata seorang ahli ekonomi.

Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.0455/0540 berbanding dolar AS, daripada 4.0565/0610 ketika ditutup pada Rabu.

Ad Banner

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata hutang kerajaan AS kini menjadi perhatian pasaran, dengan jumlah hutang awam tertunggak melepasi US$40 trilion, meningkat satu pertiga dalam tempoh kurang lima tahun.

“Ini berlaku ketika Jabatan Perbendaharaan AS berusaha menurunkan hasil bon jangka panjang menerusi campur tangan secara langsung dalam pasaran bon,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sekiranya Rizab Persekutuan AS (Fed) memilih untuk menaikkan kadar faedah dalam tempoh terdekat, langkah itu boleh menjejaskan lagi keupayaan kerajaan AS untuk memenuhi obligasi hutangnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Susulan itu, Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.86 peratus kepada 98.798 mata apabila kebarangkalian kenaikan kadar faedah pada September semakin mereda.

“Perkembangan ini dilihat positif bagi ringgit kerana perbezaan kadar faedah antara Kadar Dana Fed dan kadar dasar semalaman akan kekal stabil,” katanya.

Beliau menjangkakan ringgit diniagakan dalam lingkungan RM4.04 hingga RM4.06 berbanding dolar AS hari ini.

Pada pembukaan, mata wang tempatan itu susut berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit merosot berbanding yen Jepun kepada 2.5562/5616 daripada 2.5498/5528 ketika ditutup pada Rabu, manakala berbanding pound Britain ia susut kepada 5.5023/5138 daripada 5.4994/5055.

Ringgit turut lemah berbanding euro kepada 4.7231/7330 daripada 4.7080/7132 sebelumnya.

Berbanding mata wang serantau, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Mata wang tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1819/1891 daripada 3.1778/1816 dan turun berbanding baht Thailand kepada 12.3046/3372 daripada 12.2686/2871 sebelumnya.

Ringgit bagaimanapun, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 226.7/227.3 daripada 227.3/227.7 ketika ditutup pada Rabu dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.54/6.56 daripada 6.56/6.57.

-- BERNAMA