BMI Naik Unjuran Harga Purata MSM 2026 Kepada RM4,453 Berikutan Bekalan Terhad
KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, menaikkan unjuran harga purata 2026 bagi kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) bulan terdekat yang disenaraikan di Bursa Malaysia kepada RM4,453 satu tan daripada RM4,300 satu tan yang dikekalkan sejak Oktober 2025.
Dalam laporan terbaharunya mengenai unjuran harga minyak sawit, BMI berkata angka itu mencerminkan peningkatan 4.1 peratus tahun ke tahun daripada purata RM4,279 satu tan pada 2025.
“Berdasarkan pecahan suku tahunan, selepas mencatat purata RM4,177 satu tan pada suku pertama dan RM4,504 satu tan pada suku kedua, kami menjangkakan harga purata RM4,550 satu tan pada suku ketiga dan RM4,582 satu tan pada suku keempat,” katanya.
BMI berkata ketika dagangan ditutup setakat 17 Ogos, harga MSM bulan terdekat yang disenaraikan di Bursa Malaysia ditutup pada RM4,589 satu tan, meningkat 16.1 peratus sejak awal tahun, dengan purata setakat tahun ini sebanyak RM4,380 satu tan.
“Semakan menaik ini mencerminkan keadaan bekalan dan permintaan jangka pendek yang semakin ketat serta lebihan pengeluaran yang semakin mengecil bagi 2026/2027.
“Secara keseluruhannya, pengeluaran global yang hampir tidak berubah, susulan penurunan 3.5 peratus dalam pengeluaran Malaysia, berdepan pertumbuhan penggunaan sebanyak 2.7 peratus, didorong terutamanya oleh program biodiesel Indonesia yang semakin berkembang, yang akan mengalihkan lebih banyak minyak sawit daripada pasaran eksport kepada kegunaan bahan api domestik,” katanya.
BMI turut menurunkan unjuran pengeluaran minyak sawit Malaysia dan menjangkakan pengeluaran menyusut 3.5 peratus tahun ke tahun kepada 19.5 juta tan bagi musim 2026/2027.
Memetik data bulanan terkini Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), BMI berkata pengeluaran domestik mencapai 1.8 juta tan pada Julai 2026, meningkat 9.4 peratus berbanding bulan sebelumnya sejajar dengan faktor bermusim, namun 1.1 peratus lebih rendah berbanding Julai 2025, sekali gus mengukuhkan semakan menurun terbaharunya.
Paras stok yang tinggi dan pengeluaran kukuh pada separuh pertama tahun ini menyokong kedudukan bekalan keseluruhan Malaysia, dengan pengeluaran Januari hingga Jun sebanyak sembilan juta tan, meningkat 0.6 peratus tahun ke tahun.
“Stok domestik berkurangan sepanjang tahun ini. Sementara itu, stok penutup MSM susut kepada 1.4 juta tan pada Julai daripada 1.7 juta tan pada Januari, didorong oleh eksport yang kukuh. Namun, stok MSM masih 40 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas.
“Oleh itu, walaupun cabaran pengeluaran berterusan di Malaysia akan menyokong harga global, paras stok yang tinggi akan mengehadkan kenaikan harga,” kata BMI.
Mengenai usaha Malaysia meningkatkan kadar campuran biodiesel nasional sehingga 15 peratus, BMI berkata kesannya terhadap permintaan MSM domestik dijangka agak sederhana.
“Kami menganggap kadar campuran 12 peratus sebagai andaian yang lebih realistik bagi 2026, memandangkan kita sudah memasuki separuh kedua tahun ini dengan bukti pelaksanaan penuh mandat B15 masih terhad,” katanya.
BMI menganggarkan peningkatan kadar campuran B10 ketika ini kepada campuran penuh B15 akan meningkatkan permintaan MSM untuk biodiesel sebanyak kira-kira 200,000 hingga 270,000 tan setahun, iaitu sebahagian kecil daripada unjuran penggunaan domestik sebanyak 4.3 juta tan bagi 2026/2027.
Mandat campuran penuh 15 peratus itu tidak mungkin dicapai tahun ini memandangkan separuh tahun telah berlalu.
“Oleh itu, kami melihat mandat biodiesel sebagai faktor sokongan yang sederhana dan beransur-ansur terhadap penggunaan domestik, bukannya perubahan besar yang akan memberi kesan ketara terhadap unjuran harga kami,” katanya.
-- BERNAMA