BERITA TERKINI   Sebagai negara perdagangan, Malaysia perlu harungi persekitaran global, dengan peningkatan ketegangan geopolitik dan tekanan ekonomi - PM Anwar | Perdagangan bukan lagi sekadar urus niaga, malah kuasa, dan Malaysia tidak boleh ambil mudah risiko ekonomi - PM Anwar | Surat pemakluman kekosongan kerusi Parlimen Petaling Jaya telah dihantar kepada SPR - Timbalan Speaker  | Yang Dipertua Dewan Rakyat terima surat peletakan jawatan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung 2 Okt lepas - Timbalan Speaker | Dewan Rakyat ucap takziah kepada Tun Dr Mahathir dan keluarga atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah | 

MARGMA Gesa Pengurangan Ses Eksport, Tambah Baik Dasar Cukai Dan Buruh Dalam Belanjawan 2027

Oleh Danni Haizal Danial Donald

 

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menggesa kerajaan supaya memansuhkan atau mengurangkan ses eksport, memperkenalkan insentif pelaburan yang lebih kukuh serta menambah baik dasar cukai dan tenaga kerja di bawah Belanjawan 2027.

Ad Banner

Presidennya Oon Kim Hung berkata inisiatif yang dicadangkan itu bertujuan memperkukuh daya saing kos industri, menggalakkan pelaburan dan inovasi yang berterusan, menyokong perubahan tenaga kerja serta memelihara kedudukan Malaysia sebagai hab global terkemuka bagi pembuatan dan eksport sarung tangan getah.

"Kami menggesa kerajaan supaya menyemak semula pengenalan ses eksport sebanyak 0.2 peratus dengan tujuan untuk memansuhkannya.

"Jika pemansuhan penuh tidak dapat dilaksanakan serta-merta, kerajaan boleh mengurangkan kadar tersebut secara ketara dan memperkenalkan mekanisme semakan berkala berdasarkan keadaan semasa industri, daya saing eksport serta beban kos terkumpul yang ditanggung oleh pihak pengeluar," katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Oon turut menggesa penambahbaikan rangka kerja kos tenaga yang lebih fleksibel dan berdaya saing, khususnya bagi gas asli dan bekalan elektrik.

Bagi gas asli, katanya mekanisme kapasiti simpanan (RC) dan take or pay (TOP) perlu dikaji semula bagi membolehkan fleksibiliti yang lebih tinggi sekiranya penggunaan sebenar lebih rendah daripada paras yang dikontrakkan.

“Ini berikutan keadaan pasaran selain mengkaji semula caj pengangkutan dan pengagihan bagi memastikan ia kekal kompetitif di peringkat antarabangsa.

"Bagi bekalan elektrik, sebarang semakan utama tarif pada masa hadapan juga perlu dimaklumkan menerusi mekanisme yang telus dan boleh dijangka bagi menambah baik perancangan perniagaan," katanya.

 

Insentif Cukai dan Dasar

MARGMA juga meminta kerajaan memperkenalkan insentif cukai yang dipertingkatkan khusus bagi pengeluar tempatan yang mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam negara, kata Oon.

"Perbelanjaan yang layak boleh merangkumi pengeluaran rintis, pengesahan produk dan proses, aktiviti peningkatan skala, pengujian dan pensijilan, jentera serta peralatan khusus yang diperlukan untuk pengkomersialan, pengagihan teknologi selain kos-kos lain yang terlibat dalam peralihan daripada R&D kepada pengeluaran komersial.

"Ini boleh dilengkapkan dengan geran padanan atau pembiayaan bersama bagi projek berimpak tinggi dalam bidang seperti bahan termaju, sarung tangan khusus, pembuatan mampan, automasi, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi proses," jelasnya.

Oon menyatakan persatuan itu turut mengesyorkan pengenalan insentif pembangunan kemahiran yang disasarkan bagi pengeluar yang sedang menjalani proses automasi dan perubahan digital.

Ini merangkumi potongan cukai yang dipertingkatkan bagi latihan teknikal dan digital yang diluluskan, geran padanan untuk program peningkatan kemahiran semula yang diterajui syarikat serta sokongan bagi kerjasama berstruktur antara industri, universiti dan industri-Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

 

Penambahbaikan dasar tenaga kerja

Oon menambah kerajaan sewajarnya mewujudkan rangka kerja pekerja asing yang lebih mudah dijangka dan berasaskan keperluan bagi pengeluar berorientasikan eksport.

Beliau memaklumkan syarikat patut dibenarkan membuat permohonan berdasarkan keperluan tenaga kerja yang disahkan, disokong oleh kriteria kelayakan yang jelas serta tempoh masa pemprosesan yang tetap.

“Pertimbangan patut diberikan kepada mekanisme kelulusan yang lebih pantas bagi majikan yang mempunyai rekod kepatuhan yang baik dan terbukti mengalami kesukaran untuk mengisi jawatan yang dikenal pasti dengan warga tempatan.

“Dasar yang lebih jelas dan terjamin dalam tempoh yang ditetapkan juga akan membolehkan pengilang merancang automasi, pengambilan pekerja dan keperluan pengeluaran dengan lebih berkesan,” katanya.

 

Rangka kerja pelaburan yang lebih kukuh

Oon mencadangkan kerajaan supaya melanjutkan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) selepas 31 Dis, 2026, menyediakan tempoh tuntutan yang lebih panjang bagi projek yang dilaksanakan secara berperingkat serta membenarkan program pelaburan yang layak dijalankan dalam tempoh masa berbilang tahun yang realistik.

Beliau turut mengesyorkan supaya rangka kerja pelaburan pelbagai tahun diperkenalkan dengan langkah-langkah yang boleh merangkumi peningkatan elaun pelaburan semula, elaun modal yang dipercepatkan, geran automasi atau geran padanan serta pengiktirafan yang lebih meluas terhadap perbelanjaan yang layak bagi kerja-kerja pengubahsuaian semula kemudahan sedia ada.

“Perbelanjaan yang layak hendaklah merangkumi peralatan automasi, sistem pembuatan pintar, pendigitalan, AI, teknologi kawalan proses dan penyelesaian Industri 4.0 manakala pertimbangan juga perlu diberikan untuk membolehkan projek yang layak dilaksanakan dan dituntut secara berperingkat,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober.

-- BERNAMA