BERITA TERKINI   PM Anwar arah siasatan terhadap anak syarikat Khazanah, kesan aspek pelanggaran tatakelola | PM Anwar arah siasatan terhadap anak syarikat Khazanah, kesan aspek pelanggaran tatakelola | PM Anwar bakal buat pengumuman penting negara pada 31 Ogos dan 16 Sept ini | Kerajaan beri komitmen mansuhkan AUKU, RUU baharu dalam proses penggubalan dan dijangka dibentang di Parlimen tahun ini - PM Anwar | Mahasiswa harus diberi ruang sepenuhnya, tidak dikawal dengan undang-undang berlebihan - PM Anwar | 

Co-opbank Pertama Terbitkan Sukuk Berstruktur Terlindung Bernilai RM500 Juta

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Co-opbank Pertama Bhd (CBP) telah selesai menerbitkan Sukuk Wakalah Berstruktur Terlindung yang pertama bernilai RM500 juta menerusi syarikat tujuan khasnya, Himayah Sukuk Bhd.

Terbitan itu dibuat di bawah Program Sukuk Berstruktur Terlindung  bernilai RM5.0 bilion berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

CBP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa urus niaga tersebut menandakan pencapaian penting kerana ia merupakan terbitan pertama di bawah program itu serta Sukuk Berstruktur Terlindung pertama yang diterbitkan oleh institusi perbankan koperasi di Malaysia.

Ad Banner

Terbitan itu menerima permintaan yang kukuh daripada pelbagai pelabur institusi, termasuk syarikat pengurusan aset, institusi berkaitan kerajaan, pengendali takaful dan insurans, serta institusi kewangan.

“Urus niaga tersebut mencapai nisbah langganan sebanyak 2.97 kali, menunjukkan keyakinan pelabur yang tinggi terhadap kekuatan kewangan, daya tahan dan strategi pertumbuhan jangka panjang Co-opbank Pertama,” menurut kenyataan itu.

CBP menyatakan bahawa sukuk tersebut ditetapkan harga pada kadar keuntungan antara 4.07 peratus hingga 4.31 peratus merentasi lima tempoh matang dari tiga hingga tujuh tahun, dengan kadar keuntungan purata sebanyak 4.20 peratus setahun.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Kadar keuntungan tersebut adalah 4.07 peratus untuk tempoh tiga tahun, 4.16 peratus untuk empat tahun, 4.22 peratus untuk lima tahun, 4.26 peratus untuk enam tahun dan 4.31 peratus untuk tujuh tahun.

Hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk mempelbagaikan sumber pembiayaan bank, mengukuhkan pengurusan mudah tunai, serta menyokong aktiviti pembiayaan dan inisiatif pertumbuhan masa depannya, menurut CBP.

Program Sukuk tersebut diberi penarafan AA2 oleh RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings), mencerminkan profil kredit dan strukturnya yang kukuh.

-- BERNAMA