BERITA TERKINI   Kerajaan beri komitmen mansuhkan AUKU, RUU baharu dalam proses penggubalan dan dijangka dibentang di Parlimen tahun ini - PM Anwar | Mahasiswa harus diberi ruang sepenuhnya, tidak dikawal dengan undang-undang berlebihan - PM Anwar | Jerebu: Semua sekolah di daerah Kuching, Padawan, Serian dan Samarahan di Sarawak ditutup serta-merta hari ini dan esok - JPNS | Malaysia tolak pelaburan Pelabuhan Klang dalam gudang, aktiviti transit tanpa manfaat pekerjaan dan ekonomi - PM Anwar | Kerajaan terbuka untuk menambah baik SST, guna pakai beberapa komponen GST tetapi menolak cukai terhadap rakyat termiskin secara menyeluruh - PM Anwar | 

Malaysia Negara Pertama RCEP Tubuh Rangkaian Majlis Penasihat Perniagaan

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Malaysia muncul sebagai negara pertama Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menubuhkan Rangkaian Majlis Penasihat Perniagaan RCEP (RBAC) di peringkat kebangsaan.

Dalam kenyataan hari ini, Majlis Perniagaan Asia Timur (EABC) Malaysia memaklumkan rangkaian itu bertujuan mengukuhkan aspek penglibatan perniagaan secara langsung dengan pihak berkuasa yang relevan di Malaysia selain menyalurkan penerangan jelas untuk membolehkan pandangan sektor swasta diketengahkan dalam proses RCEP yang lebih meluas.

Pengerusi EABC Malaysia Tan Sri Dr Soh Thian Lai berkata rangkaian itu akan turut berperanan sebagai platform nasional yang berstruktur bagi membolehkan pihak perniagaan mengemukakan isu pelaksanaan secara praktikal, berkongsi pengalaman selain turut mengemukakan cadangan mengenai pelaksanaan RCEP yang berkesan untuk syarikat.

Ad Banner

Beliau berkata walaupun RCEP melibatkan liputan meluas, tahap penggunaan atau bagaimana kalangan perniagaan dapat memanfaatkan perjanjian berkaitan terbukti masih lebih rendah berbanding potensi sebenar.

Merujuk Kaji Selidik Perniagaan EABC-JETRO, beliau berkata 60.3 peratus daripada syarikat mengakui menyedari kewujudan RCEP namun penggunaannya kekal di bawah paras 20 peratus.

“Dalam kalangan syarikat yang tidak memanfaatkan perjanjian itu, sebanyak 48.1 peratus memberi alasan cabaran utama mereka adalah tidak pasti mengenai prosedur, keperluan dan pelaksanaan praktikal,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Soh yang juga Pengerusi Rangkaian RBAC Malaysia berkata peranan utama rangkaian itu adalah untuk mengurangkan jurang membabitkan peruntukan yang dirundingkan di bawah RCEP selain pengalaman praktikal perniagaan yang memanfaatkan perjanjian itu.

“Isu yang dibangkitkan oleh syarikat boleh dikemukakan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta agensi pelaksana berkaitan di Malaysia dan menerusi RBAC, ini disalurkan pula kepada platform serantau termasuk Jawatankuasa Bersama RCEP serta melalui penglibatan dengan Menteri-Menteri Ekonomi RCEP.

“Rangkaian ini akan menumpukan aspek bidang praktikal seperti peraturan asal, prosedur kastam, tuntutan tarif keutamaan, sijil asal, langkah bukan tarif, akses pasaran perkhidmatan, halangan pelaburan, perdagangan digital serta isu operasi lain yang dihadapi syarikat di seluruh pasaran RCEP,” katanya.

Soh berkata sesi meja bulat pertama pada 19 Ogos 2026 juga mengenal pasti beberapa aspek bagi tujuan penambahbaikan, termasuk aspek mempermudah peraturan asal, mempercepat pendigitalan sijil asal, memperkukuh jangkauan perusahaan kecil dan sederhana selain meningkatkan ketersediaan data penggunaan RCEP yang konsisten.

Salah satu isu praktikal yang dibangkitkan adalah keperluan penerimaan versi PDF bagi sijil asal yang lebih meluas di kesemua 15 ekonomi dalam RCEP, katanya.

“Pengiktirafan secara bersama bagi dokumentasi elektronik akan menjadikannya lebih mudah serta mengurangkan kos untuk perniagaan menggunakan rujukan atau manfaat RCEP,” katanya.

Soh berkata rangkaian itu akan turut menyokong cadangan bagi mengembangkan kemudahan ASEAN Tariff Finder iaitu platform carian tarif ASEAN untuk meliputi kesemua 15 ekonomi RCEP, membolehkan perniagaan membandingkan tarif keutamaan serta peraturan asal yang digunapakai di seluruh rantau dengan lebih mudah.

“Semakan Umum RCEP pada 2027 menyediakan peluang penting bagi menangani aspek jurang pelaksanaan selain mempertimbangkan penambahbaikan untuk membolehkan perjanjian ini menjadi lebih praktikal, mesra perniagaan serta responsif terhadap perubahan keperluan perdagangan, pelaburan dan rantaian bekalan.

“Rangkaian RBAC Malaysia akan mengumpulkan maklum balas perniagaan menjelang semakan itu agar saranan sektor swasta Malaysia adalah berasaskan pengalaman syarikat,” katanya.

RCEP yang merupakan perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia, dianggotai oleh 15 ekonomi di serata ASEAN selain China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Kumpulan negara itu juga secara bersama menyumbang kira-kira 30 peratus daripada output global selain menjadi pasaran kepada lebih dua bilion penduduk.

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia berperanan sebagai sekretariat Rangkaian RBAC Malaysia yang sejajar dengan kapasitinya sebagai sekretariat EABC Malaysia.

-- BERNAMA