Keuntungan Bersih Kossan Rubber Pada Suku Kedua Meningkat Kepada RM64.47 Juta
KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Kossan Rubber Industries Bhd (Kossan) bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2026 (S2 2026) meningkat lebih dua kali ganda kepada RM64.47 juta berbanding RM31.15 juta pada suku kedua 2025, disokong oleh prestasi lebih baik di semua bahagiannya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kossan menjelaskan bahawa keuntungan daripada bahagian sarung tangannya meningkat sepanjang suku tersebut, didorong oleh hasil yang lebih tinggi dan kos pengeluaran yang lebih rendah daripada kecekapan pengeluaran yang lebih baik.
Sementara itu, keuntungan daripada bahagian produk getah teknikalnya (TRP) turut meningkat, disokong oleh produk margin yang lebih tinggi, manakala keuntungan daripada bahagian bilik bersihnya meningkat kerana pendapatan yang lebih tinggi dan kos pengeluaran yang lebih rendah.
Perolehan bagi suku tersebut meningkat kepada RM568.88 juta berbanding RM382.19 juta pada suku kedua 2025, didorong oleh pendapatan yang lebih tinggi di semua bahagiannya.
Pendapatan daripada bahagian sarung tangan dan bilik bersih juga meningkat iaitu masing-masing sebanyak 53.43 peratus dan 34.68 peratus, didorong oleh harga jualan purata (ASP) dan jumlah jualan yang lebih tinggi, manakala perolehan daripada bahagian TRP meningkat 23.34 peratus, susulan penghantaran produk TRP yang lebih tinggi.
Bagi tempoh enam bulan pertama 2026 (S1 2026), Kossan memperolehi keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM103.99 juta berbanding RM66.81 juta pada separuh pertama 2025, manakala pendapatan meningkat kepada RM1.04 bilion daripada RM869.54 juta sebelumnya.
Mengenai prospek, Kossan berkata syarikat itu akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan kecekapan operasi dan daya saing kos menerusi automasi, pendigitalan, pengurusan kos yang berdisiplin serta penambahbaikan produktiviti.
“Kumpulan ini juga akan terus memantau pergerakan ASP, corak pesanan pelanggan, pergerakan pertukaran asing dan kos bahan mentah dengan rapi, sambil memanfaatkan amalan pengurusan risiko pertukaran asing bagi mengurangkan kesan turun naik mata wang,” katanya.
Kossan menambah bahawa bahagian TRP dijangka kekal berdaya tahan di tengah-tengah persekitaran pasaran yang bercampur-campur pada 2026, dengan permintaan daripada sektor infrastruktur diramalkan terus mengalami pemulihan secara beransur-ansur.
Menurut syarikat itu juga sektor automotif berkemungkinan kekal lembap disebabkan oleh tekanan kos, pergerakan pertukaran asing dan ketidaktentuan perdagangan global.
“Kumpulan ini akan terus memanfaatkan pangkalan pelanggannya yang pelbagai, kecekapan operasinya yang kukuh dan mengekalkan pengurusan kos yang berdisiplin bagi menyokong prestasi bahagian,” katanya.
-- BERNAMA