BERITA TERKINI   PRN Melaka diadakan pada 14 Nov, penamaan calon 31 Okt - SPR | PRN Melaka: Seramai 687,697 individu layak mengundi - Pengerusi SPR | Rumah ibadat, sekolah bantuan modal di bawah Perbadanan Aset Keretapi nikmati kadar sewa khas RM1 sebulan mulai 1 Okt - Loke | Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia diminta beri penjelasan rasmi berhubung sistem e-Jamin - Azalina | Kutipan hasil cukai negara naik sembilan peratus kepada RM129.6 bilion pada separuh pertama 2026 - Timbalan Menteri Kewangan | 

Defisit Fiskal Malaysia Dijangka Susut Kepada RM76 Bilion Pada 2027 - Apex Securities

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Defisit fiskal Malaysia dijangka mengecil kepada RM76 bilion atau 3.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2027 daripada anggaran 3.5 peratus pada 2026, sekali gus memastikan kerajaan terus berada di landasan untuk mencapai sasaran jangka sederhana 3.0 peratus menjelang 2028.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Apex Securities Bhd berkata Belanjawan 2027 dijangka kekal mengembang secara sederhana tetapi terkawal, dengan tumpuan kepada sokongan bersasar untuk isi rumah, mengekalkan disiplin fiskal dan pelaburan yang meningkatkan produktiviti.

“Anggaran dalaman kami menunjukkan hasil kerajaan berjumlah RM383.3 bilion pada 2027, meningkat 5.5 peratus tahun ke tahun, manakala perbelanjaan mengurus dijangka meningkat 4.6 peratus kepada RM378.4 bilion.

Ad Banner

“Perbelanjaan pembangunan kasar pula diunjurkan sebanyak RM82.4 bilion berbanding RM80 bilion pada 2026,” katanya.

Firma broker saham itu berkata Belanjawan 2027 iaitu Belanjawan MADANI kelima dan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, dijangka mengimbangi tiga objektif iaitu menyokong isi rumah, memperkukuh kapasiti pertumbuhan Malaysia dan mengekalkan disiplin fiskal.

Menurutnya, peningkatan perbelanjaan pembangunan kepada RM82.4 bilion merupakan perkembangan positif, namun jumlah tersebut belum menunjukkan keperluan untuk memulakan satu lagi kitaran rangsangan fiskal.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi sektor pembinaan, Apex Securities berkata peluang utama terletak pada pelaksanaan projek dalam saluran infrastruktur sedia ada, khususnya pengangkutan, lebuh raya, air dan perhubungan di Malaysia Timur.

Mengenai sokongan kepada isi rumah, firma itu menjangkakan peruntukan gabungan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat kepada kira-kira RM17 bilion daripada RM15 bilion pada 2026.

“Ini sepatutnya menyediakan sokongan langsung kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana serta menyokong perbelanjaan pengguna.

“Bagaimanapun, pelaksanaan sokongan itu akan mengambil kira keperluan fiskal berkaitan subsidi tenaga,” katanya.

Apex Securities berkata sentimen pengguna yang lebih berhati-hati, cabaran kos sara hidup, serta kemungkinan perubahan gaji dan subsidi dijangka mendorong pengguna mengutamakan perbelanjaan keperluan.

Firma itu tidak menjangkakan cukai baharu yang besar dan meluas, dengan perkara utama yang perlu diberi perhatian termasuk penerapan ciri terpilih cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam rangka kerja cukai jualan dan perkhidmatan (SST), peluasan pengecualian SST, penggunaan e-invois yang lebih meluas serta garis masa pelaksanaan cukai karbon.

Menurutnya, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan infrastruktur pusat data akan kekal sebagai tema pertumbuhan utama, dengan Belanjawan 2027 dijangka mengukuhkan kitaran pelaburan yang sedang berjalan.

“Ledakan pusat data meningkatkan kepentingan kapasiti grid, sistem penghantaran, bekalan tenaga boleh baharu yang stabil serta penyimpanan tenaga.

“Kami akan memberi tumpuan sama ada Belanjawan 2027 melanjutkan elaun cukai pelaburan hijau/pengecualian cukai pendapatan hijau kepada penyimpanan tenaga, meneruskan sokongan bagi solar atas bumbung, memperjelas mekanisme pelarasan bahan api secara automatik serta menyediakan hala tuju bagi pelaburan dalam peralihan tenaga,” katanya.

Menurutnya, pengenalan insentif khusus bagi penyimpanan tenaga akan menjadi perkembangan positif yang di luar jangkaan.

Firma itu berkata Belanjawan 2027 turut dijangka memberi kesan positif sederhana kepada Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI), namun tidak menjangkakan penilaian semula secara menyeluruh bagi indeks penanda aras itu.

“Penggabungan fiskal kekal sebagai teras dasar, manakala peningkatan perbelanjaan pembangunan yang dijangka adalah sederhana.

“Oleh itu, kesan terhadap pendapatan dijangka tertumpu kepada sektor-sektor terpilih, dan kami mengekalkan sasaran FBM KLCI pada 1,770 mata bagi akhir 2026,” katanya.

-- BERNAMA