BERITA TERKINI   PM Anwar arah siasatan terhadap anak syarikat lantikan Khazanah, kesan aspek pelanggaran tatakelola | PM Anwar bakal buat pengumuman penting negara pada 31 Ogos dan 16 Sept ini | Kerajaan beri komitmen mansuhkan AUKU, RUU baharu dalam proses penggubalan dan dijangka dibentang di Parlimen tahun ini - PM Anwar | Mahasiswa harus diberi ruang sepenuhnya, tidak dikawal dengan undang-undang berlebihan - PM Anwar | Jerebu: Semua sekolah di daerah Kuching, Padawan, Serian dan Samarahan di Sarawak ditutup serta-merta hari ini dan esok - JPNS | 

Segamat Inland Port Sasar Lebih 6,000 TEU Hingga Akhir Tahun, Jadi Pintu Masuk Kargo Rel Utara Johor

Oleh Kamarul Halim M Kamal

SEGAMAT, 20 Ogos (Bernama) -- Segamat Inland Port (SIP) menyasarkan pengendalian lebih 6,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena hingga akhir tahun ini selepas kembali beroperasi pada akhir Jun lepas.

Pengurus SIP Samuel Ho berkata dalam tempoh lebih sebulan beroperasi sehingga Julai, pelabuhan darat yang dikendalikan Infinity Logistics & Transport itu telah mengendalikan kira-kira 1,000 TEU melibatkan kargo kontena dan pukal.

Ad Banner

Beliau berkata kemudahan itu menyokong keperluan industri terutama di utara Johor selain selatan Pahang, selatan Negeri Sembilan dan Melaka.

Menurutnya pengaktifan semula SIP selepas lebih 10 tahun kurang aktif adalah selaras dengan usaha kerajaan memperkasakan pengangkutan rel menerusi inisiatif “Road to Rail” dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Mengaktifkan semula SIP juga didorong faktor keselamatan kerana pengangkutan menggunakan rel lebih selamat berbanding lori yang terdedah kepada risiko kemalangan dan kelewatan akibat kesesakan jalan raya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Penggunaan rel turut membantu mengurangkan penggunaan diesel kerana satu perjalanan tren kargo bersamaan dengan pergerakan kira-kira 80 lori kontena,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Samuel berkata sebelum ini penggunaan kereta api kargo di SIP dianggap kurang praktikal berikutan operasi landasan tunggal yang menyebabkan jadual pergerakan kargo perlu memberi keutamaan kepada tren penumpang.

Bagaimanapun, katanya keadaan berubah selepas projek naik taraf landasan berkembar ke Johor siap, sekali gus membolehkan jadual perkhidmatan kargo dari pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Johor di Pasir Gudang dilaksanakan dengan lebih fleksibel.

“Kini SIP mampu mengendalikan antara dua hingga empat perjalanan penerimaan dan penghantaran kargo seminggu berbanding hanya kira-kira satu perjalanan seminggu ketika landasan tunggal digunakan, berdasarkan maklumat operator terdahulu.

“Kita mahu SIP menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi khususnya di utara Johor termasuk daerah berpotensi seperti Batu Pahat dan Kluang selain menjadi pintu masuk utama bagi pergerakan kargo menggunakan rel.

“Secara tidak langsung, kemudahan ini juga berpotensi menarik lebih ramai pelabur untuk membangunkan kilang atau gudang di kawasan perindustrian berhampiran SIP,” katanya.

Samuel berkata SIP kini beroperasi di kawasan seluas 20.23 hektar bagi fasa pertama yang terletak di landasan sisi Stesen Kereta Api Segamat manakala keseluruhan pembangunan kemudahan itu melibatkan tiga fasa.

Beliau berkata pengoperasian fasa pertama telah mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan jumlah itu dijangka meningkat menjelang akhir tahun serta selepas keseluruhan tiga fasa siap.

“Dalam usaha berkongsi ilmu dan kepakaran mengenai pengoperasian pelabuhan darat berasaskan rel, kita turut bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), termasuk memberi pendedahan kerja lapangan dan melaksanakan beberapa kajian.

SIP ditubuhkan dan mula beroperasi pada 1997, namun kurang mendapat sambutan berikutan beberapa faktor sebelum diaktifkan semula pada 25 Jun 2026 dengan majlis perasmiannya disempurnakan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Pada majlis itu, Loke dilaporkan berkata SIP dijangka menjadi pemangkin pembangunan ekonomi di utara Johor, selain memperkukuh rangkaian logistik serta meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan dan rantaian bekalan negara.

Loke berkata pengoperasian SIP juga mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat khususnya dalam sektor keselamatan dan logistik, selain meningkatkan keupayaan pengendalian kargo di kawasan pedalaman.

SIP dijangka dapat mengurangkan kira-kira 18,000 pergerakan lori termasuk treler dan kontena di jalan raya setiap bulan, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan, meningkatkan keselamatan jalan raya serta mengoptimumkan penggunaan rangkaian rel.

– BERNAMA