Kumpulan AmBank Unjur Pertumbuhan Pinjaman Tahun Kewangan 2027 Kekal 7-8 Peratus
KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- AMMB Holdings Bhd (Kumpulan AmBank) mengunjurkan pertumbuhan pinjamannya kekal pada sekitar tujuh hingga lapan peratus bagi tahun kewangan 2027 dipacu oleh permintaan berterusan daripada syarikat korporat peringkat pertengahan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Jamie Ling berkata pinjaman kasar kumpulan meningkat tujuh peratus tahun ke tahun kepada RM165 bilion pada suku pertama tahun kewangan 2027 sekali gus menyediakan asas yang kukuh untuk penjanaan pendapatan selanjutnya.
“Pertumbuhan pinjaman ialah berita yang sangat baik bagi kami. Kami sudah tentu mempunyai sasaran yang lebih tinggi untuk diri kami sendiri dan kami mencapai pertumbuhan sebanyak tujuh peratus setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kumpulan AmBank ke-35 hari ini.
Mengenai margin faedah bersih (NIM), AmBank kekal memberi tumpuan untuk mengekalkan NIM yang berdaya tahan selain mensasarkan sekitar 1.97 hingga 1.98 peratus pada separuh kedua tahun kewangan tersebut.
NIM mencatatkan 1.98 peratus bagi tahun kewangan 2026, meningkat daripada 1.93 peratus pada tahun kewangan lepas.
Sementara itu, Ling memberitahu kumpulan itu mengekalkan peruntukan tambahan sebanyak RM275 juta bagi menampan potensi risiko kualiti aset berikutan ketidaktentuan yang timbul daripada gangguan berpanjangan di Asia Barat.
Beliau berkata nisbah pinjaman rosot nilai kasar kumpulan meningkat sedikit kepada 1.6 peratus pada suku pertama tahun kewangan 2027 berbanding 1.5 peratus sebelumnya.
“Apa yang kami dapati akan terdapat kesan ke atas pengeksport ke Asia dan oleh itu kami juga telah memastikan bahawa kami memantau mereka secara rapi serta bekerjasama dengan pelanggan kami memandangkan inventori mereka semakin meningkat disebabkan penghantaran yang tidak konsisten,” katanya.
Beliau menyatakan bank itu turut memantau PKS yang berdepan dengan kos tenaga, penghantaran dan simen yang lebih tinggi.
Selain itu jelasnya kumpulan menerima kira-kira RM600 juta permohonan daripada PKS untuk dana bantuan khas dengan sekitar RM415 juta hingga RM450 juta diperuntukkan daripada kemudahan berjumlah RM1.5 bilion.
Kumpulan AmBank mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM520.23 juta pada suku pertama tahun kewangan 2027, meningkat 0.8 peratus berbanding RM516.18 juta bagi tempoh yang sama pada tahun kewangan 2026.
Perolehan turut berkembang sebanyak 2.8 peratus kepada RM1.33 bilion daripada RM1.29 bilion sebelumnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Phuah Shok Cheng menjelaskan kedudukan modal dan mudah tunai kumpulan yang kukuh akan menyediakan kapasiti yang mencukupi untuk menyokong pertumbuhan perniagaan seterusnya selain kekal berdaya tahan terhadap kejutan luaran.
Nisbah modal ekuiti biasa kumpulan 1 (CET1) AmBank berada pada paras 14.8 peratus manakala nisbah jumlah modal ialah 17.2 peratus.
Phuah berkata kekuatan kewangan kumpulan itu juga membolehkannya terus mencipta nilai untuk pemegang saham selain menyedari bahawa harga sahamnya telah meningkat daripada RM4 semasa beliau mula berkhidmat kepada RM7.20 setakat ini manakala gandaan harga kepada nilai buku bertambah baik daripada 0.75 kali kepada 1.15 kali.
-- BERNAMA