BERITA TERKINI   PM Anwar arah siasatan terhadap anak syarikat Khazanah, kesan aspek pelanggaran tatakelola | PM Anwar arah siasatan terhadap anak syarikat Khazanah, kesan aspek pelanggaran tatakelola | PM Anwar bakal buat pengumuman penting negara pada 31 Ogos dan 16 Sept ini | Kerajaan beri komitmen mansuhkan AUKU, RUU baharu dalam proses penggubalan dan dijangka dibentang di Parlimen tahun ini - PM Anwar | Mahasiswa harus diberi ruang sepenuhnya, tidak dikawal dengan undang-undang berlebihan - PM Anwar | 

Kerajaan Kekal Tahap Pekerja Asing 13 Peratus, Sasar 10 Peratus Menjelang 2030 — MITI

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Kerajaan mengekalkan had ke atas pekerja asing pada 13 peratus daripada jumlah tenaga kerja Malaysia, selepas mengurangkan pergantungan negara kepada buruh asing daripada 15 peratus dan berhasrat menurunkannya lagi kepada 10 peratus menjelang 2030.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Sim Tze Tzin berkata Malaysia tidak akan meningkatkan pergantungan kepada buruh asing walaupun ada permintaan daripada perniagaan.

"Ini adalah dasar yang sudah ditetapkan. Kami mahu perniagaan memahami kepentingan automasi, kepentingan mengembangkan rantaian nilai selain menambah baik proses mereka; mereka perlu melonjakkan kecekapan syarikat mereka," katanya kepada pemberita pada Persidangan KLEMS Asia Ke-7 2026 di sini hari ini.

Ad Banner

Apabila perniagaan bergantung kepada buruh asing yang lebih murah, mereka kurang berkemungkinan untuk melabur dalam teknologi dan proses, mencapai penjimatan kos atau mengambil langkah yang perlu bagi meningkatkan rantaian nilai.

Sim berkata produktiviti buruh Malaysia pada 2025 mencecah RM104,556 setiap pekerja, manakala produktiviti setiap pekerja menokok sebanyak 4.3 peratus pada suku terbaru 2026, dengan produktiviti sejam bersamaan kira-kira RM45.50 setiap pekerja.

Malaysia menyasarkan untuk keluar daripada perangkap ekonomi berpendapatan sederhana dan menjadi negara berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang, beliau yakin negara boleh mencapai sasaran ini dengan dasar yang betul serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Kami sedang meneruskan trajektori dan kami terus melakukan dasar yang betul; kami akan mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam beberapa tahun. Inilah yang kami (kerajaan) usahakan dari segi dasar. Kami mahu menggalakkan dan mengurangkan pergantungan kepada buruh asing, sambil merangsang perniagaan melabur dalam teknologi yang betul, menaik taraf rantaian nilai, menjalankan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan serta menjadi produk yang dipacu eksport," kata Sim

Beliau menekankan bahawa kerajaan juga secara aktif sedang membantu perniagaan mengembangkan rantaian nilai termasuk mengurangkan pergantungan mereka kepada pekerja asing melalui insentif ke arah automasi dan penambahbaikan proses, geran dan pinjaman mudah selain sokongan daripada pelbagai agensi bagi meningkatkan produktiviti.

Menyentuh mengenai ekonomi Malaysia, yang berkembang kukuh sebanyak 6.0 peratus dari tahun ke tahun pada suku kedua 2026, Sim menjelaskan sektor elektrik dan elektronik (E&E) mencatatkan keuntungan mantap, dengan syarikat multinasional (MNC) mendapat manfaat daripada eksport kukuh yang dipacu oleh kecerdasan buatan dan teknologi.

Persidangan KLEMS 2026, yang diadakan selama dua hari pada 20-21 Ogos, dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Produktiviti Asia (APO) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia di bawah tema “Meningkatkan Produktiviti dan Daya Saing Serantau”.

Persidangan itu menghimpunkan kira-kira 200 peserta dari Malaysia dan 12 ahli ekonomi APO untuk bertukar-tukar pandangan daripada 22 kertas penyelidikan termasuk meneroka kaedah bagi menterjemah penyelidikan dan bukti ke dalam dasar praktikal.

Terdahulu, Sim turut melancarkan Laporan Produktiviti Perbadanan Produktiviti Malaysia 2026, bertemakan “Memajukan Perubahan Struktur untuk Pertumbuhan Produktiviti Mampan”.

 

-- BERNAMA