BERITA TERKINI   PM Anwar adakan lawatan kerja ke Brunei pada 21-22 Ogos bagi hadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 - Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei | Malaysia-Brunei dijangka memeterai MoU kerjasama pengurusan bencana - Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei | PM Anwar bakal buat pengumuman penting negara pada 30 Ogos dan 16 Sept ini | PM Anwar arah siasatan terhadap anak syarikat Khazanah, kesan aspek pelanggaran tatakelola | PM Anwar arah siasatan terhadap anak syarikat Khazanah, kesan aspek pelanggaran tatakelola | 

Kredit Cukai Input Boleh Kurangkan Kesan Cukai Bertindih Dalam SST Hibrid - Pakar Ekonomi

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Mekanisme kredit cukai input boleh dipertimbangkan dalam sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) hibrid bagi mengurangkan kesan cukai bertindih sepanjang rantaian bekalan, menurut pakar ekonomi.

Pengarah strategi pelaburan dan pakar ekonomi negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata SST mempunyai asas cukai yang lebih terhad, manakala cukai barang dan perkhidmatan (GST) mempunyai asas yang lebih luas.

Ad Banner

Beliau berkata pendekatan SST hibrid atau SST yang ditambah baik, termasuk penerapan elemen tertentu GST, boleh menjadi pendekatan yang lebih sesuai untuk mewujudkan sistem percukaian yang lebih seimbang.

“Satu elemen yang saya harap dapat dilihat dalam SST hibrid ialah kredit cukai input,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata mekanisme itu boleh membantu mengurangkan tekanan kos di peringkat perniagaan dengan membolehkan cukai yang telah dibayar pada peringkat sebelumnya ditolak daripada cukai yang perlu dibayar pada peringkat seterusnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagaimanapun, katanya, mekanisme tersebut tidak semestinya menyebabkan harga barangan kepada pengguna menjadi lebih rendah.

Beliau berkata kredit cukai input dapat membantu mengelakkan cukai yang dikenakan pada peringkat awal rantaian bekalan daripada menjadi sebahagian daripada kos perniagaan pada peringkat berikutnya.

Sebagai contoh, katanya, jika pengilang menjual barangan kepada pemborong pada harga RM100 dengan cukai RM10, pemborong akan membayar RM110.

Sekiranya pemborong kemudian menjual barangan itu pada harga RM130 dan mengenakan cukai RM13, mekanisme kredit cukai input membolehkan pemborong menolak RM10 cukai yang telah dibayar daripada RM13 cukai yang dikutip.

“Cukai bersih yang perlu dibayar oleh pemborong kepada kerajaan ialah RM13 ditolak RM10, iaitu RM3.

“Ini penting kerana cukai tersebut tidak terus menjadi sebahagian daripada kos yang ditanggung pemborong,” katanya.

Mohd Sedek berkata tanpa mekanisme kredit cukai input, cukai yang dikenakan pada peringkat awal boleh menjadi sebahagian daripada asas kos yang digunakan perniagaan untuk menentukan harga pada peringkat seterusnya dalam rantaian bekalan.

“Di sinilah berlakunya cukai bertindih. Cukai dikenakan, ia menjadi sebahagian daripada kos, harga dinaikkan dan cukai dikenakan sekali lagi, menyebabkan harga meningkat lebih tinggi,” katanya.

Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang meneroka kaedah untuk menjadikan sistem percukaian Malaysia lebih progresif, termasuk kemungkinan memasukkan elemen GST terpilih ke dalam rangka kerja SST sedia ada.

-- BERNAMA