BERITA TERKINI   PM Anwar tiba di Brunei untuk menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 | RCI TH: Lima kertas siasatan dibuka, 127 individu diambil keterangan - Bukit Aman | Malaysia akan guna saluran diplomatik ASEAN cari penyelesaian isu jerebu rentas sempadan - Mohamad Hasan | 

BizMatch Mega PKNS 2026 Perkasa Ekosistem Usahawan Selangor

SHAH ALAM, 20 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan ekosistem keusahawanan negeri menerusi penganjuran BizMatch Mega PKNS 2026 yang menghimpunkan kira-kira 1,200 usahawan di Selangor International Trade Centre (SITC), hari ini.

Program padanan perniagaan berskala besar itu menjadi platform yang menghubungkan usahawan secara langsung dengan pelbagai agensi pembiayaan, dan keusahawanan daripada sektor awam serta swasta bagi membuka akses kepada pembiayaan, geran, program pembangunan perniagaan dan peluang pasaran.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor Mohd Najwan Halimi berkata usaha PKNS itu ialah satu platform terbaik untuk mendedahkan usahawan kepada pasaran antarabangsa, termasuk penyertaan dalam Pameran Antarabangsa Perusahaan Kecil dan Sederhana China (CISMEF), yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 6 Sept ini.

Ad Banner

"Fokus kita adalah kepada usahawan PKS (perusahaan kecil dan sederhana) yang mempunyai produk berkualiti tinggi untuk dibantu dari segi pemasaran dan eksport," katanya selepas merasmikan BizMatch Mega PKNS 2026, di sini. 

Penganjuran BizMatch Mega PKNS 2026 tahun ini melibatkan penyertaan 49 agensi, merangkumi institusi kewangan, agensi pembangunan usahawan, badan pensijilan serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, sekali gus menyediakan ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh kepada usahawan Selangor.

Melalui kaunter dan ruang konsultasi yang disediakan, usahawan berpeluang mendapatkan maklumat secara terus mengenai pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan, selain mengemukakan permohonan pembiayaan, geran serta menyertai program pembangunan keusahawanan yang bersesuaian.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Antara agensi terlibat ialah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), SME Corporation Malaysia (SME Corp), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Halal Development Corporation Berhad (HDC), Invest Selangor Berhad dan MyIPO serta institusi kewangan termasuk Maybank, CIMB, Affin Bank, Bank Simpanan Nasional (BSN), SME Bank, Bank Islam, Agrobank, RHB dan Bank Muamalat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata PKNS kekal komited menyediakan ekosistem sokongan perniagaan yang menyeluruh bermula dari peringkat latihan asas sehingga pasaran global.

Beliau berkata usahawan perlu mencari peluang dan membuka lebih banyak jaringan perniagaan bagi membantu meningkatkan keuntungan, selain meluaskan potensi perusahaan sedia ada. 

“PKNS sangat serius untuk membantu usahawan dan perniagaan di negeri Selangor. Saya berharap mereka yang hadir pada hari ini dapat memanfaatkan peluang yang ada untuk membantu memajukan perniagaan masing-masing,” katanya. 

Bagi 2026, PKNS turut merancang penganjuran enam siri BizMatch merangkumi siri jelajah ke Sabah dan Sarawak, program padanan perniagaan khas bersama Affin Bank, serta perjumpaan khas bersama rangkaian pasar raya besar bagi membantu usahawan menembusi pasaran peruncitan tempatan.

-- BERNAMA