Keuntungan Bersih Takaful Malaysia Naik Kepada RM88.33 Juta Pada Suku Kedua
KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) mencatatkan untung bersih yang lebih tinggi sebanyak RM88.83 juta pada suku kedua 2026, meningkat daripada RM83.82 juta pada tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM1.16 bilion daripada RM1.01 bilion.
Bagi separuh pertama 2026, keuntungan bersih naik kepada RM189.80 juta daripada RM178.35 juta, manakala hasil meningkat kepada RM2.28 bilion daripada RM2.13 juta setahun sebelumnya, disokong kebanyakannya oleh pelepasan caruman yang lebih tinggi dan perlindungan takaful yang meningkat, mencerminkan permintaan berterusan terhadap penyelesaian perlindungan keluarga.
Pengendali takaful itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa peningkatan dalam hasil dan keuntungan mencerminkan kekuatan asas perniagaan teras kumpulan, disokong oleh momentum berterusan merentas perniagaan Takaful Keluarga dan Takaful Am, pelepasan margin perkhidmatan kontrak (CSM) yang positif serta pendapatan pelaburan bersih yang lebih tinggi.
“Prestasi tersebut menggariskan daya tahan model perniagaan kepelbagaian Takaful Malaysia serta keberkesanan pendekatan berdisiplin terhadap pertumbuhan, keuntungan dan pengurusan risiko dalam persekitaran operasi yang sedang berkembang,” menurut kenyataan itu.
Menjelang separuh kedua 2026, Takaful Malaysia menyatakan ia kekal fokus untuk menterjemahkan asas perniagaan yang kukuh kepada pertumbuhan mampan dan berkualiti, disokong oleh asas ekonomi berdaya tahan, jurang perlindungan yang masih ketara serta kesedaran semakin meningkat dalam kalangan individu, perniagaan dan institusi terhadap keperluan perlindungan kewangan yang menyeluruh.
Ia akan terus memanfaatkan kekuatannya, terutamanya perkongsian bancatakaful untuk memperluaskan kehadiran dalam segmen runcit melalui produk penasihat dan caruman berkala.
“Usaha ini bertujuan untuk menembusi segmen pasaran yang masih kurang diteroka, selain memperluas akses kepada penyelesaian takaful.
“Kumpulan itu juga akan terus memanfaatkan platform digitalnya, Kaotim untuk meningkatkan libat urus pelanggan dan menyediakan saluran alternatif bagi pelanggan mengakses produk takaful dengan mudah dan mampu milik,” menurut Takaful Malaysia.
Menurut kumpulan itu, memandangkan kadar penembusan takaful Malaysia yang agak rendah, ia berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi perlindungan mampu milik, perancangan kewangan dan perlindungan perubatan serta mengukuhkan kehadirannya dalam industri serta menjana pertumbuhan mampan dan nilai jangka panjang syarikat itu.
Pada masa sama, Takaful Malaysia akan terus mempelbagaikan dan mengukuhkan portfolio melangkaui takaful motor, dengan peluang ketara dalam segmen komersial dan runcit, terutamanya perlindungan aset yang berpotensi tinggi dan sebahagian besarnya masih belum diteroka.
Dengan memanfaatkan peluang ini, kumpulan itu berhasrat untuk melonjakkan trajektori pertumbuhan dan mengukuhkan cita-citanya untuk menjadi penyedia takaful terkemuka dan peneraju industri di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata fasa pertumbuhan kumpulan seterusnya akan melibatkan lebih daripada sekadar memperluaskan perniagaan, sebaliknya memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti pertumbuhan, mendalamkan hubungan pelanggan dan mencipta nilai yang lebih besar merentas ekosistem takaful.
“Kami akan terus melabur dalam modal insan, teknologi, produk dan keupayaan pengedaran kami dan mengukuhkan perkongsian strategik,” katanya.
“Pendigitalan akan kekal sebagai pemacu penting dalam menjadikan takaful lebih mudah diakses, relevan dan mudah untuk pelanggan kami,” katanya.
Dengan model perniagaan yang pelbagai, asas kukuh dan hala tuju strategik yang jelas, Nor Azman berkata Takaful Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatlkan peluang baharu dan kekal berdisiplin dalam menguruskan risiko.
“Kami akan terus melaksanakan tugas dengan fokus dan tangkas, dengan objektif untuk mencapai pertumbuhan jangka panjang yang mampan dan nilai berkekalan untuk pelanggan, pemegang saham dan pihak berkepentingan lain,” katanya.
-- BERNAMA