Untung Bersih Sunway Healthcare Suku Kedua Lonjak Kepada RM78.15 Juta
KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Sunway Healthcare Holdings Bhd melonjak kepada RM78.15 juta pada suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Dis 2026, daripada RM41.38 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Hasil turut meningkat 30 peratus kepada RM672.89 juta daripada RM518.57 juta, didorong terutamanya oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen operasi hospital.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan segmen operasi hospital mencatat hasil RM659.2 juta pada suku semasa berbanding RM510.5 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya, meningkat 29 peratus.
“Pertumbuhan ini disumbangkan terutamanya oleh jumlah pesakit yang lebih tinggi di seluruh hospital kumpulan, selain peningkatan sumbangan hasil daripada Sunway Medical Centre (SMC) Sunway City, Damansara dan Ipoh.
“Hasil pesakit asing meningkat 31 peratus kepada RM84.9 juta daripada RM65.0 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.
“Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh peningkatan kemasukan pesakit dari Indonesia, China dan Kemboja,” menurutnya.
Sunway Healthcare turut memaklumkan kadar penggunaan katil keseluruhan kumpulan pada suku kedua 2026 meningkat kepada 73 peratus daripada 67 peratus pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Dalam tempoh itu, jumlah kemasukan pesakit dalam bagi segmen operasi hospital meningkat 19 peratus kepada 32,599 pesakit, menurutnya.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM111.48 juta berbanding RM80.13 juta, manakala hasil turut meningkat kepada RM1.25 bilion daripada RM992.62 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Lembaga pengarah tidak mencadangkan sebarang dividen bagi tempoh kewangan berakhir 30, Jun 2026.
Mengenai prospek, kumpulan itu memaklumkan pihaknya akan terus membuat persiapan bagi pelaksanaan MediAsas yang dirancang serta pelaksanaan secara berperingkat rangka kerja pembayaran Diagnosis-Related Group (DRG), selain mengadakan perbincangan dengan syarikat insurans dan pengendali takaful berhubung pengaturan pembayaran balik yang mampan.
“Kumpulan akan terus memperluas pasaran sumber pesakit asing, saluran rujukan dan kerjasama dengan pembayar, selain mengekalkan sumber bekalan yang pelbagai, penampan inventori yang mencukupi serta pengurusan kos yang berdisiplin.
“Kumpulan juga akan memberi tumpuan kepada usaha menukar pertumbuhan jumlah pesakit dan pengaktifan kapasiti kepada pertumbuhan pendapatan yang mampan, di samping mengekalkan kebolehcapaian, kecemerlangan klinikal, daya tahan operasi dan disiplin kewangan,” menurutnya.
-- BERNAMA