BERITA TERKINI   PM Anwar adakan lawatan kerja ke Brunei pada 21-22 Ogos bagi hadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 - Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei | Malaysia-Brunei dijangka memeterai MoU kerjasama pengurusan bencana - Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei | PM Anwar bakal buat pengumuman penting negara pada 30 Ogos dan 16 Sept ini | PM Anwar arah siasatan terhadap anak syarikat Khazanah, kesan aspek pelanggaran tatakelola | PM Anwar arah siasatan terhadap anak syarikat Khazanah, kesan aspek pelanggaran tatakelola | 

Untung Bersih Malayan Cement Meningkat Kepada RM903.17 Juta

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Malayan Cement Bhd meraih keuntungan bersih lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2026 yang mencecah RM903.17 juta daripada RM672.38 juta sebelum ini, disumbangkan terutamanya oleh pengurusan kos lebih ketara serta peningkatan kecekapan operasi.

Perolehan hasil bagi tahun terbabit juga menokok kepada RM4.99 bilion daripada RM4.52 bilion.

Bagi tempoh suku keempat tahun kewangan 2026, keuntungan bersihnya meningkat kepada RM222.92 juta daripada RM165.41 juta manakala perolehan hasil menokok kepada RM1.29 bilion daripada RM1.10 bilion.

Ad Banner

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat bahan binaan itu memaklumkan permintaan simen dalam jangka masa sederhana dan panjang dijangka kekal memuaskan.

Menurutnya, ini didorong oleh pembinaan sektor perindustrian dan komersial selain inisiatif infrastruktur utama termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura selain permintaan berterusan daripada kalangan penduduk muda Malaysia serta komuniti di kawasan yang mengalami proses pembandaran.

“Dalam jangka masa terdekat, ketidaktentuan geopolitik, terutama konflik Asia Barat yang berpanjangan akan hanya melonjakkan kos tenaga, bahan binaan dan penghantaran yang berpotensi menyebabkan aktiviti pembinaan menjadi lebih perlahan selain menjejaskan permintaan simen.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kos bahan api dan penghantaran akan kekal menjadi risiko utama terhadap kos pengeluaran simen,” maklum syarikat itu.

Pada masa sama, walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global serta tekanan inflasi berterusan, syarikat terbabit kekal optimis namun berhati-hati.

“Menerusi langkah memanfaatkan lokasi strategik kilang serta rangkaian logistik bersepadu, syarikat akan terus meningkatkan kecekapan operasi untuk memenuhi permintaan pasaran domestik dan eksport selain bertindak mengurangkan impak akibat peningkatan kos,” menurutnya.

Pihak Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak sembilan sen bagi sesaham biasa dan sembilan sen untuk setiap saham keutamaan boleh tukar tanpa boleh tebus bagi tahun kewangan 2026 yang akan dibayar pada 2 Oktober 2026.

-- BERNAMA