BERITA TERKINI   PM Anwar adakan lawatan kerja ke Brunei pada 21-22 Ogos bagi hadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 - Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei | Malaysia-Brunei dijangka memeterai MoU kerjasama pengurusan bencana - Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei | PM Anwar bakal buat pengumuman penting negara pada 30 Ogos dan 16 Sept ini | PM Anwar arah siasatan terhadap anak syarikat Khazanah, kesan aspek pelanggaran tatakelola | PM Anwar arah siasatan terhadap anak syarikat Khazanah, kesan aspek pelanggaran tatakelola | 

YTL Power Catat Untung Bersih Lebih Rendah Kepada RM1.68 Bilion Bagi Tahun Kewangan 2026

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih YTL Power International Bhd menyusut kepada RM1.68 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 daripada RM2.54 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

Menurut pemaju infrastruktur bersepadu itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, keuntungan yang menyusut itu terutama disebabkan prestasi lemah dalam segmen penjanaan tenaga, telekomunikasi dan aktiviti pegangan pelaburannya.

Segmen penjanaan tenaga mencatat keuntungan lebih kecil terutama berikutan margin runcit, margin skim vesting dan margin pool atau pasaran elektrik borong pasaran kumpulan yang rendah manakala keuntungan segmen telekomunikasi menyusut disebabkan penurunan hasil projek.

Ad Banner

Segmen aktiviti pegangan pelaburan turut mencatat penurunan keuntungan, dipengaruhi oleh kos kewangan yang lebih tinggi dan penyusutan keuntungan nilai saksama ke atas hartanah pelaburan, sebahagiannya diimbangi oleh kerugian pertukaran mata wang asing tidak direalisasikan yang lebih rendah.

Bagaimanapun, perolehan YTL Power bagi tahun kewangan 2026 meningkat kepada RM22.02 bilion daripada RM21.80 bilion sebelumnya.

Peningkatan itu disokong oleh perolehan yang lebih tinggi daripada segmen air dan kumbahan susulan kenaikan harga yang dibenarkan Ofwat selaku pengawal selia bagi anak syarikatnya, Wessex Water, dengan sebahagiannya diimbangi oleh pengukuhan ringgit berbanding pound Britain.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Kadar tarif yang lebih tinggi bagi Ranhill SAJ Sdn Bhd turut menyumbang kepada peningkatan perolehan YTL Power.

Sementara itu, bagi suku keempat tahun kewangan 2026, keuntungan bersih YTL Power menyusut kepada RM423.50 juta daripada RM817.75 juta pada suku keempat tahun kewangan 2025 manakala perolehan meningkat kepada RM6.33 bilion daripada RM5.55 bilion dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Mengenai prospek, YTL Power memaklumkan bahawa segmen penjanaan tenaganya adalah perkhidmatan penting memandangkan permintaan terhadap elektrik dijangka kekal stabil.

“Segmen ini akan terus memfokuskan kepada perkhidmatan pelanggan, kecekapan operasi dan meneroka kepelbagaian di luar perniagaan teras ke arah bekalan utiliti bersepadu pelbagai perkhidmatan,” menurutnya.

Bagi segmen air dan kumbahan, Wessex Water memberi tumpuan kepada pelaksanaan program pelaburan 2025-2030 manakala aset terkawal syarikat itu dijangka meningkat kepada RM39.3 bilion menjelang 2030.

Segmen telekomunikasi pula akan terus memfokuskan kepada peningkatan jumlah pelanggan melalui pelan data mampu milik, perkhidmatan 5G yang inovatif dan kerjasama strategik.

Sementara itu, segmen pusat data dijangka kekal sebagai bidang pertumbuhan utama, dengan kumpulan itu merancang untuk mengembangkan taman pusat data hijaunya di Kulai kepada 1,200 megawatt (MW), dengan 298 MW daripadanya telah dikontrakkan.

“Pada masa ini, kumpulan telah melabur sebanyak RM10.6 bilion dalam perniagaan pusat data dan dalam perancangan untuk mengembangkan operasi ke lokasi lain, bukan sahaja di taman pusat data hijau Kulai,” menurut YTL Power.

Bagi aktiviti pegangan pelaburan, YTL Power meneruskan pelaburan dalam ekosistem kecerdasan buatan (AI) Malaysia melalui anak syarikat milik 70 peratusnya YTL AI Labs, selaku pemilik dan pembangun model AI bahasa besar Malaysia yang dikenali sebagai ILMU.

YTL Power turut mengisytiharkan dividen interim tahun kewangan 2026 sebanyak empat sen sesaham biasa, yang akan dibayar pada 23 Okt 2026.

-- BERNAMA