BERITA TERKINI   Belanjawan 2027: Bantuan kepada OKU meningkat kepada RM1.5 bilion, manfaatkan lebih 300,000 orang | Belanjawan 2027: Bantuan warga emas ditingkatkan kepada RM1.3 bilion, manfaatkan hampir 200,000 penerima | Belanjawan 2027: Pusat Respons Penipuan Kebangsaan akan bangunkan aplikasi AI bolehkan rakyat semak nombor telefon, akaun bank atau pautan mencurigakan sebelum buat transaksi | Belanjawan 2027: MCMC perhebat pelaksanaan Kempen Internet Selamat di semua sekolah, fokus tangani buli siber dan eksploitasi kanak-kanak | Belanjawan 2027: Hasil Persekutuan bagi 2026 diunjur lebih tinggi RM363.6 bilion berbanding anggaran asal RM343.1 bilion manakala hasil bagi 2027 dijangka naik kepada RM380.8 bilion | 

Malaysia Perlu Pacu Inovasi, Bangunkan Produk Bernilai Tinggi - Noraini

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Malaysia perlu memacu inovasi dengan membangunkan lebih banyak produk getah khusus dan bernilai tinggi, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata industri getah perlu mempercepat penerimagunaan teknologi digital dan melabur dalam pembangunan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan untuk memajukan industri itu pada masa hadapan.

“Malaysia perlu terus melaksanakan penyesuaian dan penambahbaikan untuk kekal berdaya saing,

Ad Banner

“Matlamat kita adalah jelas untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pembekal global yang dipercayai bagi produk getah yang inovatif, mampan dan berkualiti tinggi,” katanya dalam ucaptama beliau pada Majlis Makan Malam Kepimpinan dan Jaringan Industri Majlis Getah Malaysia (MRC) di sini malam ini.

Noraini turut menyeru pihak industri untuk memperkukuh rantaian bekalan yang mampan dan berdaya tahan selain memperluas akses pasaran bagi produk getah Malaysia, seiring dengan Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Dasar AgriKomoditi Negara (DAKN) 2021-2030.

“Kita perlu meningkatkan kebolehkesanan, memenuhi piawaian kemampanan dan memperteguh bekalan getah asli tempatan. Langkah ini penting bagi memastikan pengeluar kita mempunyai bekalan bahan mentah yang stabil.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Industri getah perlu berkembang ke pasaran baharu. Menerusi usaha perdagangan dan kerjasama erat dengan agensi serta rakan industri, kita akan berusaha mengatasi halangan perdagangan dan mewujudkan lebih banyak peluang bagi produk getah Malaysia di pasaran sedia ada dan baharu,” katanya.

Noraini menekankan bahawa kementerian itu akan terus menyediakan dasar dan peraturan yang menyokong pertumbuhan industri ini, khususnya memperkukuh bekalan getah asli tempatan.

“Kementerian akan terus mengekalkan hubungan yang terbuka dan positif dengan industri. Saya yakin MRC akan terus menyokong keperluan industri produk getah Malaysia yang sentiasa berubah,” katanya.

Terdahulu, Noraini menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MRC dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Monash University Malaysia.

Beliau turut menyaksikan pertukaran MoU tiga pihak melibatkan MRC, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

MoU itu bertujuan mempercepat inovasi, menyokong pengkomersialan teknologi baharu dan membangunkan produk getah yang mempunyai nilai lebih tinggi.

-- BERNAMA