BERITA TERKINI   PM Anwar utus surat kepada Presiden Prabowo berkait isu pelaburan FELDA, syarikat EHP di Indonesia | PM Anwar kesal pihak perlekeh isu tatakelola dan salah guna kuasa, main sentimen kaum dan agama | Agong titah pastikan siasatan tatakelola, hal ehwal FELDA telus dan segera - PM Anwar | 

CIDB Gazetkan Sembilan Produk Bahan Binaan Tambahan Dalam Jadual Keempat Akta 520

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mewartakan sembilan produk bahan binaan tambahan melibatkan 22 standard di bawah Jadual Keempat, Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520).

Menurut CIDB langkah itu bertujuan memperkukuh kualiti dan keselamatan produk dan bahan binaan yang digunakan dalam industri pembinaan negara.

Perintah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Pindaan Jadual Keempat) 2026 itu mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2026, menjadikan keseluruhan 102 produk dan bahan binaan merangkumi 11 kategori kini disenaraikan di bawah Jadual Keempat Akta 520.

Ad Banner

"Walaupun pindaan Jadual Keempat telah berkuat kuasa pada 1 Ogos 2026, CIDB memberi tempoh peralihan selama enam bulan, dengan penguatkuasaan terhadap keperluan yang dipinda bermula pada Februari 2027. 

"Tempoh ini memberi ruang kepada industri untuk memahami keperluan tambahan, membuat semakan terhadap produk masing-masing serta mendapatkan perakuan yang diperlukan," menurut CIDB dalam kenyataan hari ini.

CIMB memaklumkan sembilan produk binaan tambahan itu merangkumi tiga produk dalam kategori besi dan keluli, dua produk konkrit, tiga produk gentian dan komposit serta satu produk kaca.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu,14 standard turut ditambah selaras dengan produk yang telah sedia tersenarai di bawah Jadual Keempat 2021 manakala enam standard dikeluarkan kerana tidak lagi relevan.

Menurut kenyataan itu, pindaan berkenaan memberi implikasi secara langsung kepada pihak yang mengilang, mengimport, mengeksport, membekal, memasarkan, menjual, membeli atau menggunakan produk dan bahan binaan yang disenaraikan di bawah Jadual Keempat.

Penggiat industri juga perlu menyemak senarai Jadual Keempat yang terkini bagi mengenal pasti sama ada produk atau bahan binaan yang dikendalikan terlibat dengan penambahan atau perubahan standard.

"Bagi produk yang tertakluk kepada keperluan tersebut, pihak industri perlu memastikan produk berkenaan mematuhi standard yang ditetapkan dan mendapatkan Perakuan Pematuhan Standard (PPS) daripada CIDB sebelum penguatkuasaan bermula," menurut kenyataan itu.

Menurut CIDB pematuhan itu penting memandangkan kualiti dan prestasi bahan binaan memberi kesan langsung terhadap kualiti, ketahanan dan keselamatan sesuatu kerja pembinaan selain mengurangkan risiko penggunaan bahan yang tidak memenuhi spesifikasi serta membantu melindungi keselamatan pekerja binaan dan orang awam.

CIDB memaklumkan pindaan berkenaan turut menyokong Teras Strategik 1: Kualiti, Keselamatan & Kesihatan di bawah Pelan Tindakan Pembinaan 2026-2030 (CAP30), yang memberi penekanan kepada peningkatan standard kualiti pembinaan melalui inovasi, pematuhan dan kompetensi.

“CIDB akan mengeluarkan surat pekeliling kepada pihak industri yang berkaitan mengenai pindaan tersebut,” menurutnya sambil menyarankan penggiat industri menggunakan tempoh peralihan yang diberikan untuk memastikan produk dan bahan binaan masing-masing memenuhi semua keperluan sebelum penguatkuasaan bermula.

Di bawah Akta 520, mana-mana pihak yang didapati bersalah berurusan dengan produk dan bahan binaan yang tersenarai dalam Jadual Keempat tanpa perakuan CIDB yang diperlukan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM500,000.

Penggiat industri yang perlu mendapatkan PPS boleh mengemukakan permohonan melalui platform Certification of Construction Product & Material (CCPM) CIDB.

-- BERNAMA