Kecemerlangan Operasi Teras Peralihan Tenaga ASEAN - TNB
KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kecemerlangan operasi perlu melangkaui kecekapan kos untuk memperkukuh daya tahan grid, meningkatkan kebolehlihatan sistem secara masa nyata dan menyokong integrasi tenaga boleh baharu yang selamat dan boleh dipercayai, seiring dengan landskap tenaga ASEAN yang terus berkembang.
Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga Tenaga Nasional Bhd (TNB) Dr Mohd Fadzil Mohd Siam berkata peningkatan kesalinghubungan sistem tenaga dan peralihan tenaga yang semakin pesat memerlukan syarikat utiliti untuk membina ketangkasan yang lebih teguh terhadap persekitaran operasi yang pesat berubah.
Bercakap pada Sidang Kemuncak Kecemerlangan Operasi ASEAN ke-3 2026 (OPEX 2026) di sini baru-baru ini, beliau berkata, bagi TNB, transformasi dipacu oleh pengintegrasian data, teknologi digital dan analitik termaju dalam operasi grid harian.
OPEX 2026 menghimpunkan syarikat utiliti serantau dan pemimpin industri untuk bertukar-tukar pandangan serta amalan terbaik dalam memperkukuh prestasi operasi ketika landskap tenaga rantau ini berubah dengan pantas.
Mohd Fadzil berkata pelaburan berterusan dalam pemodenan rangkaian, pengurusan aset secara ramalan dan peningkatan keupayaan tindak balas terhadap insiden membolehkan TNB meningkatkan kebolehpercayaan, meminimumkan gangguan perkhidmatan dan membekalkan tenaga elektrik yang selamat serta berdaya tahan kepada komuniti dan ekonomi yang disokongnya.
Pelaburan dalam aspek modal insan juga sama penting, katanya sambil memaklumkan walaupun teknologi merupakan pemangkin utama, kecemerlangan operasi pada akhirnya akan bergantung kepada tenaga kerja berkemahiran dan bersedia menghadapi masa depan.
“TNB terus memperkukuh kemampuan teknikal melalui peningkatan kemahiran secara berterusan, pemerkasaan digital serta budaya kukuh yang mengutamakan keselamatan, inovasi dan penambahbaikan berterusan,” katanya.
Mohd Fadzil turut menekankan bahawa masa depan tenaga ASEAN bukan sahaja dibentuk oleh kemajuan teknologi malah melalui kerjasama serantau yang lebih teguh.
“Melalui perkongsian ilmu, penanda aras operasi dan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan syarikat utiliti ASEAN, TNB kekal komited untuk memajukan sistem tenaga serantau yang lebih berdaya tahan, mampan dan saling berhubung, yang menyokong keterjaminan tenaga jangka panjang serta kemakmuran bersama,” katanya.
-- BERNAMA