BERITA TERKINI   JDT muncul juara Piala Sumbangsih buat kali ke-11 selepas tewaskan Kuching City FC 3-0 | 

Dasar Penyetempatan EV Perlu Perkukuh Industri, Bukan Sekat Persaingan -- Chow

BATU KAWAN, 21 Ogos (Bernama) – Dasar penyetempatan dasar kenderaan elektrik (EV) Malaysia perlu memperkukuh industri domestik tanpa menyekat persaingan, pilihan pengguna mahupun keyakinan pelabur.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata ini sejajar dengan hasrat Malaysia yang menyasarkan penglibatan lebih banyak syarikat tempatan dalam rantaian bekalan EV, meningkatkan pemindahan teknologi selain mewujudkan lebih banyak pekerjaan yang bernilai tinggi.

“Pendirian saya jelas. (Langkah) penyetempatan perlu mengukuhkan lagi industri, bukan menyekat persaingan.

Ad Banner

“Walaupun Malaysia perlukan pelaburan, teknologi dan persaingan, (namun) pengguna juga mahukan pilihan,” katanya pada majlis Kerjasama Inisiatif Tenaga Boleh Baharu (TBB) antara McDonald’s Malaysia dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) di sini, hari ini.

Chow berkata kebimbangan berkaitan dasar terbaharu mengenai EV siap dipasang sepenuhnya (CBU) dan risiko penguasaan berlebihan dalam pasaran EV RM100,000 perlu dipandang serius memandangkan Malaysia juga bersaing dengan negara lain bagi pelaburan EV.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengambil maklum mengenai kebimbangan yang disuarakan serta terus menambahbaik dasar yang diumumkan serta disampaikan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ini penting berikutan komunikasi yang jelas serta langkah yang boleh dijangka, dapat mencetuskan keyakinan dalam kalangan pelabur serta komuniti perniagaan.

Menyentuh agenda peralihan tenaga Pulau Pinang, Chow berkata negeri itu telah menetapkan sasaran di bawah Rangka Kerja Tenaga Pulau Pinang untuk menjana 10 peratus tenaga daripada sumber boleh baharu serta mengurangkan intensiti tenaga elektrik sehingga 25 peratus menjelang 2030.

Beliau berkata Pulau Pinang turut menetapkan sasaran 500 pengecas EV menjelang 2030 berbanding kira-kira 460 pada masa ini dan menganggap infrastruktur pengecasan itu perlu berkembang seiring dengan peningkatan EV.

Menurutnya, kemudahan TNB Electron iaitu pengecas pantas terus berkapasiti 200-kilowatt dengan dua titik pengecasan dapat dipertingkat kepada empat di McDonald’s Batu Kawan, adalah yang pertama bagi sektor makanan dan minuman.

Kemudahan itu telah memulakan operasi pada Mei 2026.

“Saya berharap inisiatif ini akan diperluaskan kepada lebih banyak premis McDonald’s di serata Pulau Pinang. Lokasi lain masih belum disahkan lagi, namun saya berharap Batu Kawan ini dapat dijadikan contoh untuk dilaksanakan di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata ini memandangkan peralihan tenaga adalah usaha kerajaan dan industri.

Terdahulu, Chow menyaksikan pemeteraian Perjanjian Bekalan dengan Tenaga Boleh Baharu bagi fasa seterusnya program solar bumbung McDonald’s, penyerahan sijil Tarif Elektrik Hijau dan pelancaran kemudahan pengecasan EV TNB Electron.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar serta Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Shamsul Ahmad.

– BERNAMA