BERITA TERKINI   Kerajaan lulus secara prinsip usul memperkasa Mahkamah Syariah, akan rujuk Majlis Raja-Raja- PM Anwar | Jangan sorok kes buli, salah laku disiplin semata-mata mahu menjaga nama baik sekolah - PM Anwar | Aspek pendidikan, keselamatan anak-anak di sekolah adalah tanggungjawab bersama ibu bapa dan warga pendidik - PM Anwar | PM Anwar mahu tindakan cepat dan tegas diambil terhadap sebarang kes yang mengancam keselamatan pelajar di sekolah | Malaysia negara pertama berjaya menghantar pulang tahanan Myanmar ke negara asal - PM Anwar  | 

Ringgit Akhiri Minggu Dagangan Dengan Kukuh, Kebimbangan Pasaran Bon AS Tekan Dolar AS

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Ringgit mengakhiri minggu dagangan dengan kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) walaupun hasil Perbendaharaan AS menunjukkan peningkatan.

Mata wang tempatan itu mendapat sokongan daripada kenaikan hasil bon Malaysia dan kebimbangan pelabur yang meningkat berikutan campur tangan di pasaran bon AS baru-baru ini boleh memberi tekanan kepada dolar AS.

Ad Banner

Pada 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.0365/0405 berbanding dolar AS daripada 4.0425/0470 ketika ditutup pada Khamis.

Ahli Strategi Global Quintex Intel Stephen Innes berkata campur tangan kerajaan AS itu boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap aset AS, sekali gus berpotensi memberi tekanan kepada dolar AS.

“Apa yang membimbangkan adalah usaha untuk menekan hasil jangka panjang AS akhirnya boleh menyerupai satu bentuk pengurusan keluk hasil atau penindasan kewangan yang secara sejarahnya memberi tekanan kepada dolar,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kerajaan AS harus memberi tumpuan kepada meningkatkan hasil dan mengawal perbelanjaan untuk memperlahankan pertumbuhan hutang kerajaan AS yang telah mencecah AS$40 trilion buat pertama kalinya.

“Program pembelian semula bon hanya akan memberi ruang masa, kerana pasaran pada akhirnya akan kembali memberi perhatian kepada kedudukan fiskal AS untuk membuat penilaian,” katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit ditutup lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding yen Jepun kepada 2.5449/5476 daripada 2.5527/5557 ketika ditutup pada Khamis, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5118/5173 daripada 5.5164/5225 semalam dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7227/7274 daripada 4.7322/7374 sebelum ini.

Mata wang tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.1809/1843 daripada 3.1813/1851 semalam dan meningkat sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.54/6.55 daripada 6.55/6.57 ketika ditutup semalam.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 228.1/228.4 daripada 227.7/228.1 dan merosot sedikit berbanding baht Thailand kepada 12.3474/3638 daripada 12.3014/3211 pada Khamis.

-- BERNAMA