BERITA TERKINI   JDT muncul juara Piala Sumbangsih buat kali ke-11 selepas tewaskan Kuching City FC 3-0 | PM Anwar tiba di Brunei untuk menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 | 

Maybank Dan SMF Bekerjasama Pacu Pertumbuhan Pembuatan Merentasi JS-SEZ, ASEAN

JOHOR BAHRU, 21 Ogos (Bernama) -- Maybank dan Persekutuan Pengilangan Singapura (SMF) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meluaskan akses ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan menyokong pembangunannya sebagai cadangan yang saling menguntungkan bagi kedua-dua negara serta rantau ASEAN yang lebih luas.

MoU itu menyediakan platform yang menghubungkan ekosistem SMF dengan pengeluar tempatan, multinasional dan rakan vendor mereka dengan kepakaran serta rangkaian perbankan serantau Maybank, ini akan memudahkan peluang pelaburan dan pengembangan berkualiti tinggi merentasi koridor Singapura-Malaysia serta Singapura-ASEAN, khususnya di JS-SEZ.

Maybank melalui satu satu kenyataan bersama hari ini berkata ia akan menyokong inisiatif pembinaan kapasiti seperti kelestarian dan amalan rantaian bekalan yang tertumpu kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), sambil menyediakan penyelesaian perbankan yang disesuaikan dalam kewangan mampan, pengurusan tunai, pembayaran, perdagangan serta pembiayaan rantaian bekalan termasuk pembiayaan rentas sempadan.

Ad Banner

Bank itu akan memudahkan kira-kira RM22 bilion dalam pembiayaan dan kepentingan pelaburan termasuk sokongan untuk infrastruktur digital, pembuatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan yang mengejar peluang serantau.

Selain itu, bank itu secara aktif akan menyokong perniagaan yang meneroka peluang yang timbul daripada JS-SEZ melalui rangkaian perbankan serantau dan keupayaan merentas sempadan.

“Melalui kerjasama ini, kami akan memanfaatkan kehadiran kami di 10 negara ASEAN untuk menyediakan rangkaian SMF yang terdiri daripada lebih 5,000 ahli dengan perkongsian pengetahuan, rangkaian perniagaan serta inisiatif pembinaan kapasiti, semasa mereka berkembang di Singapura dan seterusnya,” kata Maybank.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pemeteraian itu, yang disaksikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, berlangsung ketika 'Dialog dengan Menteri Besar Johor', anjuran bersama Maybank-SMF dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), menghimpunkan pelanggan Maybank dan ahli SMF di Singapura bagi menandakan permulaan perkongsian mereka.

Semasa dialog itu, Onn Hafiz berkongsi maklumat terkini mengenai kemajuan serta rancangan untuk Rangka Tindakan dan Pelan Induk JS-SEZ termasuk menggariskan keutamaan utama bagi mempromosikan pembuatan termaju.

Onn Hafiz berkata JS-SEZ telah menarik rekod pelaburan langsung asing sebanyak RM126.9 bilion (S$40 bilion) sejak diformalkan.

“Perkongsian strategik dan dialog membina antara sektor awam serta swasta seperti ini dengan pihak berkepentingan Maybank dan SMF akan menjadi kritikal dalam menterjemahkan momentum tersebut kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang, pelaburan dan penciptaan pekerjaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Rangka Tindakan dan Pelan Induk JS-SEZ akan menggariskan langkah untuk mempercepatkan kelulusan pelaburan, memudahkan pergerakan orang dan barangan serta membangunkan industri baharu yang bernilai tinggi, berimpak yang akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan kepada penduduk Johor dan Singapura.

Matlamat jangka panjangnya ialah meletakkan JS-SEZ sebagai gerbang pelaburan ke ASEAN dan mewujudkan kemakmuran bersama untuk generasi akan datang.

Sementara itu, Presiden SMF Lennon Tan berkata pembuatan menyumbang lebih 17 peratus daripada KDNK Singapura dan menggaji hampir setengah juta pekerja, menjadikan daya saing yang dipertingkatkan sebagai kemestian negara.

“Untuk memacu pertumbuhan, perusahaan Singapura perlu berkembang melangkaui sempadan tempatan, dengan JS-SEZ menawarkan cadangan yang menarik kepada syarikat melalui penggunaan model berkembar seperti mengekalkan operasi ibu pejabat di Singapura sambil membangunkan pengeluaran di Malaysia yang berada dalam ekosistem yang kaya dengan sumber.

“Sebagai pengurus program JS-SEZ, SMF telah melibatkan lebih 700 peserta yang berminat untuk menubuhkan atau mengembangkan operasi, dengan minat yang terus berkembang. Kami berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri Johor dan Maybank bagi membantu ahli kami meningkatkan serta merealisasikan aspirasi pertumbuhan mereka dalam zon itu,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negara, CEO Maybank Singapira, Alvin Lee berkata sektor pembuatan di Singapura dijangka meningkat seiring dengan perbelanjaan modal AI global dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan. 

Beliau memberitahu kerjasama dengan rakan kongsi seperti SMF yang komited kepada transformasi perindustrian dan pembangunan mampan mampu melonjakkan sokongan untuk perniagaan Singapura dan Malaysia, terutamanya PKS dalam menghadapi masa depan.

“Kami berada pada kedudukan yang baik untuk berbuat demikian dengan memanfaatkan francais ASEAN kami dan sebagai bank pilihan untuk urus niaga Singapura-Malaysia. Zon ini merupakan opsyen strategik bagi pengembangan memandangkan kedekatan, selain hubungan yang sudah terjalin lama antara kedua-dua negara dan premium yang diletakkan oleh pelabur atas kestabilannya,” ujar beliau.

Perkongsian dengan SMF adalah sejajar dengan strategi ROAR30 Maybank dalam mencapai sasaran baharu untuk menggerakkan RM300 bilion (S$94 bilion) dalam kewangan mampan dan sasaran baharu RM100 bilion (S$31 bilion) setiap satu bagi ekonomi baharu serta PKS di seluruh ASEAN, sambil menyokong wawasan Pembuatan Singapura 2030.

-- BERNAMA