BERITA TERKINI   PM Anwar dikurnia Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K.) daripada Sultan Brunei | PM Anwar tiba di Istana Nurul Iman bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 antara Malaysia dan Brunei | Penggajian 15,000 pekerja asing: Permohonan majikan dipermudah secara berfasa - KESUMA | Permohonan penggajian pekerja asing kini sepenuhnya secara dalam talian, tiada lagi walk-in manual – KESUMA | 

Niaga Hadapan MSM Dijangka Kekal Tinggi Minggu Depan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menaik minggu depan, disokong oleh kebimbangan berterusan terhadap cuaca dan program biodiesel B50 Indonesia.

Niaga hadapan MSM melonjak selama lima sesi berturut-turut pada minggu ini, dengan kontrak penanda aras November 2026 ditutup melebihi RM5,000 setan pada Jumaat, mencerminkan momentum kenaikan yang kukuh.

Ad Banner

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata kebimbangan cuaca yang berterusan di kawasan pengeluar minyak sawit utama boleh menjejaskan pengeluaran dan mengehadkan bekalan, sekali gus memberikan sokongan kepada harga MSM dalam masa terdekat.

“Sementara itu, program biodiesel B50 Indonesia juga dijangka memberikan sokongan kepada pasaran dengan meningkatkan penggunaan minyak sawit tempatan,” katanya kepada Bernama.

Program biodiesel B50 Indonesia menetapkan campuran 50 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit dan 50 peratus diesel konvensional, yang berpotensi meningkatkan penggunaan minyak sawit untuk kegunaan tenaga domestik dan mengurangkan bekalan untuk eksport.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sehubungan itu, Ng menjangkakan harga MSM diniagakan dalam lingkungan RM4,950 hingga RM5,100 setan minggu depan.

Berdasarkan asas Jumaat ke Jumaat, kontrak September 2026 meningkat RM215 kepada RM4,791 setan, Oktober 2026 menokok RM224 kepada RM4,934 setan dan November 2026 melonjak RM211 kepada RM5,018 setan.

Kontrak Disember 2026 naik RM198 kepada RM5,077 setan, Januari 2027 meningkat RM182 kepada RM5,118 setan, manakala Februari 2027 bertambah RM167 kepada RM5,141 setan.

Jumlah dagangan mingguan turut meningkat kepada 682,863 lot berbanding 582,348 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 342,115 kontrak daripada 327,575 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal untuk September Selatan meningkat RM50 kepada RM4,770 setan.

-- BERNAMA