Inisiatif Kelestarian Maraton Maybank Terus Diperluas
Oleh Nik Nurfaqih Nik Will
BALI, 22 Ogos (Bernama) -- Kelestarian akan terus menjadi asas utama dalam pembangunan Maraton Maybank, seiring dengan langkah kumpulan perbankan itu dalam meningkatkan usaha untuk mewujudkan impak sosial dan alam sekitar yang positif serta berterusan di ASEAN.
Ketua Kelestarian Maybank Indonesia Maria Trifanny Fransiska berkata kelestarian alam sekitar telah disepadukan dalam Maraton Maybank sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan impak alam sekitar acara itu dan mencapai aspirasi neutral karbon menjelang 2030.
Antara inisiatif tersebut ialah Jejak Hijau, kempen kelestarian jangka panjang yang bertujuan melibatkan pelari, komuniti dan pengunjung dalam langkah praktikal berkaitan alam sekitar selain menyokong perjalanan maraton itu ke arah mencapai neutral karbon.
“Kempen ini bertujuan menggalakkan semua pihak, termasuk pelari, komuniti dan pengunjung, mengamalkan kelestarian secara praktikal seperti melalui pengurusan sisa dan aktiviti ‘plogging’.
“Kami juga menggunakan cawan yang boleh diguna semula dan bahan mesra alam serta perkara tersebut telah disepadukan dalam acara ini,” katanya kepada Bernama pada Maybank Marathon Sustainability Day 2026 di Gianyar pada Sabtu, menjelang acara Maraton Maybank pada Ahad.
Turut hadir Pengerusi Kumpulan Maybank Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Khairussaleh Ramli dan Presiden Pengarah Maybank Indonesia Steffano Ridwan.
‘Plogging’ ialah aktiviti kecergasan yang menggabungkan senaman seperti berjoging, berjalan kaki atau mendaki dengan aktiviti mengutip sampah di jalan raya dan taman.
Maria berkata maraton pada 2025 menjana 4,336 tan metrik setara karbon dioksida (tCO₂e), yang telah ditetapkan sebagai garis dasar untuk mengukur kemajuan dalam mengurangkan jejak karbonnya ke arah aspirasi neutral karbon acara tersebut menjelang 2030.
Maraton Maybank 2026 akan menghimpunkan 14,100 pelari dari 46 negara pada Ahad, meningkat daripada 13,600 orang pada tahun lepas, dengan peserta dari Malaysia membentuk kontinjen luar yang terbesar.
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Maybank Datuk Shahril Azuar Jimin berkata agenda kelestarian kumpulan itu telah berkembang dengan ketara selama ini, daripada menjadi komponen utama strategi korporat M25+ bagi tempoh 2020-2025 kepada peranan yang lebih besar di bawah strategi ROAR30 sehingga 2030.
“Misi utama Maybank ialah memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.
Di bawah ROAR30, Maybank menyasarkan untuk menggerakkan RM300 bilion dalam kewangan mampan dan memperkasakan tiga juta nyawa di seluruh ASEAN menjelang 2030, dengan program komunitinya membentuk sebahagian daripada usaha untuk menterjemahkan komitmen tersebut kepada impak yang ketara.
Shahril berkata antara inisiatif itu ialah Maybank Women Eco-Weavers (MWEW), yang telah berkembang daripada pelancarannya di Lombok, Indonesia, pada 2016 kepada program serantau yang meliputi Indonesia, Malaysia, Kemboja, Laos dan Filipina, serta menyambut ulang tahun ke-10 pada Hari Kelestarian baru-baru ini.
“Ia bukan sekadar bantuan atau geran. Ia adalah program pemerkasaan komuniti yang menawarkan pembinaan kapasiti melalui penyediaan kemahiran dan peralatan yang diperlukan, selain pembiayaan mikro dan akses kepada pasaran,” katanya.
Beliau berkata MWEW secara kumulatif telah memperkasakan 2,617 penenun wanita dan menyokong 3,024 petani sehingga 30 Jun, menggabungkan pemerkasaan ekonomi dan kesejahteraan yang mampan dengan usaha memelihara warisan tenunan tradisional ASEAN.
-- BERNAMA