BERITA TERKINI   Parkir terbakar: Pusat beli-belah terlibat di Johor Bahru mula beroperasi seperti biasa sekitar 7 malam - Bomba | Parkir bawah tanah sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru terbakar, 11 kenderaan terjejas - Bomba | Gempa bumi sederhana magnitud 5.0 berlaku di perairan Sandakan, Sabah pada 9.11 malam – METMalaysia | Kemajuan teknologi, ekonomi tidak bermakna tanpa perpaduan, keamanan negara - PM Anwar | Umat Islam wajib kuasai AI, tapi mesti berakar pada nilai iman dan akhlak - PM Anwar | 

KPK Gesa Percepat Penggunaan Teknologi Industri Sawit

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menggesa penggiat industri sawit mempercepat penggunaan teknologi bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi dan penghasilan produk bernilai tinggi.

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata penggiat industri perlu meneroka dan memanfaatkan teknologi yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing bagi memastikan inovasi yang dibangunkan dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar di lapangan.

“Saya berharap lebih ramai penggiat industri dapat meneroka teknologi yang sesuai dengan keperluan masing-masing.

Ad Banner

“Ada teknologi yang membantu kerja penuaian, meningkatkan kadar perahan minyak dan kecekapan kilang, selain menyokong penghasilan produk bernilai tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2025/2026 di sini hari ini.

Noraini berkata usaha memperkukuh industri sawit perlu menggabungkan pengalaman penggiat industri dengan kepakaran penyelidik bagi memastikan teknologi yang dibangunkan benar-benar memenuhi keperluan industri.

Beliau berkata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memainkan peranan penting dalam usaha itu dengan mengkomersialkan lebih 240 teknologi yang mempunyai potensi nilai pasaran melebihi RM6 bilion.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pada masa yang sama, penggunaan kecerdasan buatan (AI) turut membuka peluang untuk membuat keputusan dengan lebih tepat dan mempercepatkan urusan harian.

“Apabila teknologi dapat digunakan pada kos yang berpatutan, manfaatnya dapat dinikmati dengan lebih meluas oleh industri,” katanya.

AISM 2025/2026 menyaksikan seramai 36 pemenang daripada 12 kategori menerima pengiktirafan yang merangkumi sektor huluan, pertengahan dan hiliran, selain Anugerah Khas Rakan Strategik serta Anugerah Pengeksport Produk Sawit.

Sementara itu, MPOB terus memperkukuh pendigitalan industri sawit menerusi portal GeoSAWIT, platform geospatial nasional bagi memetakan dan mengesahkan lokasi serta sempadan tanaman sawit di seluruh negara.

Menurut MPOB, GeoSAWIT membolehkan data spatial dimanfaatkan untuk memperkukuh ketelusan, kebolehjejakan dan tadbir urus industri berasaskan data, selain menyokong pemantauan penggunaan tanah, penilaian risiko serta keperluan pematuhan pasaran.

Platform itu turut menyokong usaha memperkukuh pendigitalan dan kebolehjejakan rantaian bekalan industri sawit negara, selaras dengan tuntutan pasaran antarabangsa terhadap ketelusan dan kemampanan.

-- BERNAMA