BERITA TERKINI   Semua sekolah, tadika dan taska di Batu Pahat ditutup esok susulan IPU sangat tidak sihat - Jkuasa Pengurusan Bencana Daerah | Dana Impak Khazanah membuktikan bahawa dana kerajaan boleh membangunkan masyarakat melangkaui pulangan kewangan -- Amir Hamzah | Dewan Rakyat lulus RUU Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 | 

Digital Perak, SCDB Meterai MoU Bina Ekosistem STEM AI Bernilai RM7.5 Juta

IPOH, 6 Okt (Bernama) -- Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Spark Capital Development Berhad (SCDB) bagi membangunkan ekosistem Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Kecerdasan Buatan (AI) yang menyeluruh di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Teh Kok Lim berkata kerjasama strategik selama tiga tahun bermula tahun ini itu memberi tumpuan kepada penubuhan STEM AI Hub di Hub Inovasi & Multimedia (HiM) Digital Perak di Mydin Mall, Meru Raya.

Beliau berkata menerusi kerjasama itu, ruang reka cipta sedia ada di HiM akan dinaik taraf sepenuhnya dengan kelengkapan stesen FlowLogic6, kit pembelajaran interaktif serta peralatan prototaip berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT).

Ad Banner

“Pada peringkat awal, inisiatif ini akan melibatkan 100 guru dalam empat kohort menerusi Program Perintis Pendidik Digital STEM AI selain Program Pendidik TVET-AI Asas selama lima hari atau 40 jam berasaskan kerangka yang ditetapkan.

“Dalam jangka panjang, HiM akan dibangunkan sebagai pusat rujukan latihan dan pensijilan STEM AI negeri serta disokong dengan pembentukan tiga hab satelit di beberapa daerah di Perak dengan sasaran melahirkan 1,000 jurulatih, 300 pengajar TVET-AI selain memberi pendedahan kepada 30,000 pelajar menerusi  STEM AI,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis memeterai MOU antara Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir dan Ketua Pegawai Operasi SCDB K. Mohanraj sempena Konvensyen Inovasi Negeri Perak 2026, di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Teh berkata pelaburan strategik bagi membangunkan ekosistem berkenaan melibatkan komitmen kewangan keseluruhan yang diunjurkan mencecah sehingga RM7.5 juta dalam tempoh tiga tahun.

“Dari aspek pelaksanaan, projek ini menggabungkan kekuatan Digital Perak dari segi sokongan ekosistem dan penyediaan ruang, bersama kepakaran SCDB dalam modul serta kandungan pembelajaran,” katanya.

Inisiatif itu juga katanya selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 dan agenda ekonomi digital negeri, khususnya dalam melahirkan bakat tempatan berdaya saing bagi memenuhi keperluan sektor pembuatan, pertanian serta pembangunan bandar pintar.

“Usaha ini bukan sekadar memberi pendedahan awal terhadap teknologi moden, malah membina rangkaian pendidik dan pelajar yang berkeupayaan mencipta, berinovasi serta menyokong pertumbuhan ekonomi digital Perak secara berterusan,” kata Teh.

-- BERNAMA