BERITA TERKINI   Gempa bumi sederhana magnitud 5.0 berlaku di perairan Sandakan, Sabah pada 9.11 malam – METMalaysia | Kemajuan teknologi, ekonomi tidak bermakna tanpa perpaduan, keamanan negara - PM Anwar | Umat Islam wajib kuasai AI, tapi mesti berakar pada nilai iman dan akhlak - PM Anwar | Semua sekolah, tadika dan taska di Batu Pahat ditutup esok susulan IPU sangat tidak sihat - Jkuasa Pengurusan Bencana Daerah | Dana Impak Khazanah membuktikan bahawa dana kerajaan boleh membangunkan masyarakat melangkaui pulangan kewangan -- Amir Hamzah | 

Kesaksamaan, Kepercayaan, Ketelusan Kunci Penerimaan Pembaharuan Fiskal -- Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Kesaksamaan, kepercayaan dan ketelusan adalah kunci untuk mendapatkan penerimaan rakyat terhadap pembaharuan fiskal yang sukar, termasuk rasionalisasi subsidi, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata orang ramai lebih bersedia menerima keputusan yang sukar apabila mereka memahami sebab di sebaliknya dan menganggap pelaksanaannya sebagai adil.

"Hakikatnya, kita telah melaksanakan rasionalisasi subsidi selama lebih dua tahun," katanya pada sesi perbincangan panel penutup Forum Megatrend Khazanah, yang dikendalikan oleh ahli lembaga pengarah Khazanah, Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Ad Banner

Amir Hamzah berkata kepercayaan dan ketelusan membantu memastikan penerimaan terhadap pembaharuan, manakala kekangan fiskal menuntut pertimbangan sukar demi kepentingan awam.

Katanya, penyusunan semula subsidi perlu bagi mewujudkan ruang fiskal dan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukannya, dengan kerajaan perlu menunjukkan keperluan untuk perubahan serta kewajaran pendekatan yang diambil.

Mengenai usaha melindungi generasi akan datang, beliau berkata perundangan seperti Akta Tanggungjawab Fiskal menyediakan mekanisme perlindungan untuk memperkukuh disiplin fiskal, termasuk mengurangkan defisit fiskal.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Malaysia juga perlu memelihara kekayaan daripada sumber yang terhad, termasuk minyak dan gas, supaya generasi akan datang dapat meraih manfaatnya,” katanya.

Beliau berkata rangka kerja dana amanah negara itu bertujuan untuk menguntukkan sumber, dengan langkah-langkah perlindungan yang mengawal pengeluaran di samping menyediakan sokongan bagi pendidikan, pembangunan kemahiran dan kesihatan.

Amir Hamzah berkata keputusan kerajaan membawa kesan jangka panjang dan memerlukan pertimbangan yang teliti mengenai impaknya terhadap rakyat.

Menggunakan contoh hipotetikal, beliau berkata sesuatu dasar yang memberi kesan kepada hanya 10 peratus penduduk Malaysia masih akan membawa kesan kepada 3.4 juta orang.

“Jika (dasar itu) memberi kesan kepada 3.4 juta orang, kehidupan seseorang di luar sana akan berubah secara drastik daripada langkah yang anda ambil.

"Ia berkaitan impak yang kita hasilkan dan perubahan yang kita bawa dalam memacu masyarakat kehadapan," katanya.

Beliau berkata Khazanah mahupun kerajaan tidak mampu memacu kemajuan negara secara bersendirian sambil menekankan keperluan kerjasama yang lebih meluas bagi membina masyarakat yang lebih makmur dan seimbang.

-- BERNAMA