BERITA TERKINI   Parkir terbakar: Pusat beli-belah terlibat di Johor Bahru mula beroperasi seperti biasa sekitar 7 malam - Bomba | Parkir bawah tanah sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru terbakar, 11 kenderaan terjejas - Bomba | Gempa bumi sederhana magnitud 5.0 berlaku di perairan Sandakan, Sabah pada 9.11 malam – METMalaysia | Kemajuan teknologi, ekonomi tidak bermakna tanpa perpaduan, keamanan negara - PM Anwar | Umat Islam wajib kuasai AI, tapi mesti berakar pada nilai iman dan akhlak - PM Anwar | 

NFLS 2026 Beri Tumpuan Kepada Kesejahteraan Kewangan, Realiti Dihadapi Kumpulan Rentan

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan 2026 (NFLS 2026) berusaha memperkukuh kesejahteraan kewangan orang ramai menerusi pendidikan kewangan bersasar yang disesuaikan dengan keperluan kumpulan tertentu.

Acara selama dua hari yang bertemakan ‘Tiada Sesiapa Ketinggalan: Merapatkan Jurang, Menjamin Masa Depan’ itu bermula hari ini bertempat di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM). 

Ia menghimpunkan penggubal dasar, pengawal selia, pemimpin industri, penyelidik, ahli akademik bagi membincangkan mengenai cabaran kewangan dan strategi untuk mengukuhkan daya tahan serta keterangkuman kewangan. 

Ad Banner

Antara isu utama yang diberi tumpuan ialah realiti kewangan golongan generasi sandwich, pekerja gig dan platform yang berdepan dengan aliran pendapatan yang tidak menentu, serta keluarga yang membesarkan anak-anak berkeperluan khas. 

Sementara itu, program Literasi Kewangan GoGiggers anjuran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan rakan kerjasama Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN), termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Bank Simpanan Nasional (BSN), telah mencatatkan peningkatan 34.4 peratus dalam kesejahteraan kewangan, dalam kalangan pekerja ekonomi gig yang menyertainya di Semenanjung Malaysia.

Selain itu, 74 peratus peserta berjaya memulakan simpanan kecemasan, dengan mengumpul lebih RM68,000 dalam bentuk simpanan dan RM40,000 dalam bentuk pelaburan sepanjang program tersebut.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Timbalan Gabenor BNM Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata literasi kewangan kekal sebagai asas penting bagi individu untuk membuat keputusan kewangan berasaskan maklumat, mengharungi persekitaran kewangan yang semakin kompleks, serta membina daya tahan kewangan jangka panjang.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Bulan Literasi Kewangan 2026 (FLM 2026) dan NFLS 2026 di sini hari ini. 

NFLS 2026 turut mengadakan sesi pleno bertajuk ‘Apabila Kasih Sayang Bertemu Batasan: Literasi Kewangan untuk Generasi Sandwich dalam Masyarakat Menua’, yang dikendalikan oleh Penolong Gabenor BNM, Suhaimi Ali.

Sesi itu mengkaji bagaimana literasi dan keterangkuman kewangan dapat membantu golongan generasi sandwic mengimbangi tanggungjawab penjagaan, keperluan kewangan harian, dan kestabilan kewangan jangka panjang dalam masyarakat menua.

Simposium itu turut menampilkan sesi pembentangan kertas kerja yang merangkumi literasi dan tingkah laku kewangan, persiapan menghadapi persaraan, daya tahan kewangan, keterangkuman kewangan digital serta kesejahteraan kewangan. 

Pembentangan itu turut mengupas cabaran dan peluang baharu yang dihadapi oleh rakyat Malaysia, termasuk kecukupan simpanan persaraan, kelemahan kewangan, tingkah laku kewangan yang mampan dan penyertaan dalam ekosistem kewangan digital.

Dalam pada itu, NFLS 2026 merupakan anjuran bersama ahli FEN, iaitu BNM, KWSP dan AKPK dengan kerjasama Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA). 

Acara tahun ini juga bersempena dengan ulang tahun ke-10 FEN, sekali gus menandakan sedekad kerjasama antara pengawal selia, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan industri dalam memperkasa literasi serta kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia. 

-- BERNAMA