Platform Perkhidmatan Penjagaan Anak Kiddocare Berjaya Bantu Lebih 100,000 Keluarga
Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Perkhidmatan penjagaan anak yang fleksibel pada bila-bila masa ketika diperlukan, adalah kemudahan paling bermakna yang ditawarkan oleh Kiddocare Sdn Bhd (Kiddocare), kerana ia memberi keselesaan kepada ibu bapa, malah tidak perlu bimbang mengenai keberadaan anak mereka.
Ketika memerlukan masa lapang untuk diri sendiri hingga penjagaan selepas sekolah, selain ketiadaan pengasuh pada cuti sekolah, majlis perkahwinan, konsert dan acara lain, perkhidmatan penjagaan anak Kiddocare diwujudkan bagi membantu ibu bapa apabila mereka memerlukan bantuan tambahan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kiddocare Nadira Yusoff berkata fleksibiliti menjadi tumpuan utama pertumbuhan syarikat sejak pelancarannya pada 2019, dengan lebih 30,000 pengasuh berdaftar telah menyumbang bakti kepada ribuan keluarga di Malaysia menerusi platform penjagaan anak atas perkhidmatan yang pertama di Malaysia.
Sehingga kini, Kiddocare telah menyediakan perkhidmatan kepada lebih 100,000 keluarga di seluruh negara, dengan permintaan tertinggi dari Kuala Lumpur, Johor dan Kelantan.
Selain menyediakan perkhidmatan seperti penjagaan bayi, pengasuh sementara dan hab penjagaan, platform itu membantu keluarga mencari pusat penjagaan yang sah di seluruh Malaysia.
Sepanjang tahun ini, syarikat itu turut memberi tumpuan untuk membantu keluarga mendapatkan akses yang lebih meluas terhadap pelbagai perkhidmatan bagi anak mereka, berikutan keperluan yang semakin berubah, termasuk perkhidmatan berpantang bagi membantu ibu-ibu yang bakal menyambut cahaya mata.
Pengumpulan dana membantu perancangan syarikat
Nadira berkata aplikasi dan teknologi yang dibina dengan kerjasama Dana Impak di bawah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) telah membantu Kiddocare dalam perniagaan terasnya iaitu penjagaan kanak-kanak, sekali gus menyediakan asas ke fasa pertumbuhan seterusnya syarikat tersebut.
Sokongan yang diberikan oleh Khazanah kepada Kiddocare menerusi Dana Impak itu bermula sejak peringkat awal penubuhan syarikat tersebut, termasuk pada pusingan Pra-Siri A pada 2023 melalui dana Gobi Dana Impak Ventures (GDIV).
Pada pusingan itu, yang turut melibatkan firma modal teroka yang berpangkalan di Singapura, MSW Ventures, telah berjaya mengumpul dana kira-kira RM4.5 juta.
Beliau berkata Dana Impak juga mengakui bahawa teknologi merupakan bahagian penting dalam pertumbuhan Kiddocare dan penggerak penting bagi perkhidmatan penjagaan anak yang selamat, iaitu selepas membantu syarikat membangunkan platform teknologi terasnya pada 2024.
“Pelaburan ini membuka jalan bukan sahaja bagi kami membangunkan teknologi untuk ibu bapa dan pengasuh, tetapi juga kami mula mengembangkan teknologi ini untuk menyokong pemain industri lain, seperti pusat penjagaan kanak-kanak dan pusat penjagaan ibu bersalin,” katanya kepada Bernama.
Bermula dari penjagaan anak kepada penjagaan orang tua
Berdasarkan momentum tersebut, Kiddocare kini menyasarkan untuk memperluaskan lagi perkhidmatannya kepada penjagaan orang tua, selepas melaksanakan program rintis bagi perkhidmatan tersebut.
“Kami memulakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak pada 2019, dan sejak itu berjaya membina kepercayaan dalam kalangan pelanggan kami.
“Kebanyakan ibu bapa yang telah menggunakan perkhidmatan kami sejak tujuh tahun lalu kini mempunyai anak-anak yang sudah dewasa, dan mendapati diri mereka tersepit dalam dua generasi (generasi sandwich) iaitu menjaga anak masing-masing dan pada masa sama ibu bapa mereka yang semakin tua.
“Memandangkan mereka percaya kepada pengasuh Kiddocare, mereka mula bertanya sekiranya kami turut menawarkan perkhidmatan penjagaan orang tua.
“Jadi, kelebihan perniagaan ini ialah kami boleh menyediakan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan ibu bapa dan keluarga yang semakin berubah,” katanya.
Selain itu, Nadira memaklumkan bahawa kebanyakan syarikat pengasuh yang telah bekerjasama dengan Kiddocare selama tujuh tahun, telah menyatakan kesediaan untuk bersama-sama dengan syarikat ini, apabila ia menceburi bidang baharu itu nanti.
-- BERNAMA