Cawangan Baharu PISB Perkukuh Ekosistem Perniagaan GM Klang
KLANG, 8 Okt (Bernama) -- GM Klang memperkukuh ekosistem perniagaan menerusi pembukaan cawangan terbesar rangkaian peruncitan kelengkapan perkahwinan dan dekorasi rumah, Porcelain Inn Sdn Bhd (PISB) di Lembah Klang.
Cawangan terbaharu PISB dengan keluasan lebih 20,000 kaki persegi itu terletak di tingkat lima pusat beli belah borong tersebut dan ia menawarkan variasi lebih 38,000 produk kepada pelanggan.
Pengarah Urusan GM Klang Datuk Lim Seng Kok berkata pembukaan cawangan ke-17 itu membuktikan keupayaan PISB sebagai jenama tempatan terkemuka khususnya barangan perkahwinan dan cenderahati.
Beliau berkata GM Klang sebagai destinasi pemborongan sentiasa memperkukuh teras perniagaan ke perniagaan (B2B) dan berkembang ke arah pendekatan perniagaan ke perniagaan ke pengguna (B2B2C).
“Melangkaui aktiviti pemborongan dan peruncitan, pembukaan outlet PISB ini membuktikan komitmen kami untuk terus menyokong perkembangan pelbagai jenis perniagaan.
“Kami mahu mengukuhkan peranan GM Klang bukan sekadar tempat berniaga, malah membantu perniagaan dalam membina jenama, berkembang dan mencapai pasaran lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pembukaan cawangan PISB itu yang turut dihadiri Pengarah Urusan PISB Goh Tian Soo dan Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records (MBOR) Jwan Heah hari ini.
Terdahulu, PISB turut menerima pengiktirafan oleh MBOR bagi kategori 'Largest Variety of Malay Wedding Products by a Wedding Supplier', sekali gus menambah pencapaian membanggakan dalam ekosistem GM Klang yang diiktiraf sebagai pusat borong terbesar di Malaysia.
Lim berkata pembukaan cawangan itu berpotensi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung dan merancakkan sektor perniagaan sedia ada.
“Ini menunjukkan bahawa PISB memberikan keyakinan yang tinggi kepada kami untuk menyediakan platform kepada semua peniaga khususnya berskala kecil dan sederhana.
“Pada masa sama, GM Klang amat mengalu-alukan kehadiran peniaga baharu yang berminat untuk menyertai kami pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar PISB Goh Shu Xin berkata pembukaan itu bertepatan dengan sambutan 35 tahun perniagaannya yang berpusat di Ayer Hitam, Johor sejak 1991.
“Kami mempunyai 17 cawangan di Semenanjung Malaysia iaitu dari Johor hingga Kelantan, di samping pasukan rekaan yang menghasilkan produk mengikut cita rasa tempatan dan tema perkahwinan.
“Kami turut menawarkan produk dengan pakej dan harga mengikut kuantiti terdiri daripada barangan perkahwinan, cenderahati tetamu, bunga telur, pembungkusan hadiah, bunga tiruan berserta pasu, selain pokok hiasan tiruan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya berhasrat menjadi jenama pilihan utama rakyat Malaysia bagi barangan perkahwinan Melayu dan memperluaskan capaiannya melalui kedai fizikal dan platform digital.
-- BERNAMA