BERITA TERKINI   Jerebu rentas sempadan: Kerajaan hargai Indonesia benarkan rentas ruang udara bagi pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan - Arthur | Jerebu: Malaysia, Indonesia lipat ganda tindakan pencegahan, pemadaman awal bagi tambah baik kualiti udara menjelang sambutan Hari Kebangsaan - Arthur | Polis pertingkat kawalan di sempadan negara susulan letupan bom di selatan Thailand - KPN | 

MATRADE Tingkat Sasaran Jualan MIHAS 2026 Kepada RM5 Bilion

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah menaikkan sasaran jualan bagi Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke-22 (MIHAS 2026) kepada RM5 bilion daripada RM4.5 bilion, berikutan sambutan menggalakkan daripada pembeli antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof berkata agensi itu sebelum ini menetapkan sasaran RM4.5 bilion, melebihi sedikit pencapaian tahun lepas sebanyak RM4.3 bilion, bagaimanapun kini yakin untuk mencapai angka lebih tinggi.

“Untuk tahun ini, kami menyemak naik unjuran daripada RM4.5 bilion kepada RM5 bilion. Justeru, sasaran kami untuk MIHAS ketika ini adalah RM5 bilion, katanya.

Ad Banner

“Satu lagi sebab adalah kerana...seperti yang saya kongsikan sebelum ini, kami menerima sambutan amat luar biasa daripada pembeli antarabangsa,” katanya pada sidang media bersama MATRADE dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2026 di sini hari ini.

Antara ciri baharu di MIHAS 2026 ialah Wanita dalam komponen Eksport, bertujuan memperkasakan lebih banyak perniagaan milik wanita untuk menyertai industri halal serta mengembangkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran antarabangsa.

Abu Bakar berkata ini adalah kali pertama komponen berfokuskan wanita itu diperkenalkan di MIHAS.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pameran tersebut juga akan menampilkan Modest Fashion Show untuk mempromosikan segmen fesyen yang sopan.

MIHAS 2026 akan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) menerusi aplikasi direka untuk menghubungkan pembeli, penjual, pembekal dan bakal rakan kongsi perniagaan sepanjang acara itu berlangsung.

Platform tersebut akan melengkapkan program pemadanan perniagaan fizikal MATRADE dan menjana peluang tambahan dalam perniagaan ke perniagaan.

“Pembeli boleh berkomunikasi dengan bakal penjual dan pembekal, manakala syarikat antarabangsa boleh berhubung dengan bakal rakan kongsi menerusi aplikasi AI ini,” katanya.

MATRADE telah menerima lebih daripada 500 permohonan daripada pembeli dan pengimport antarabangsa untuk acara tahun ini, melebihi sasarannya, iaitu 300 pembeli.

MIHAS 2026 mensasarkan 2,400 reruai melibatkan peserta dari sekurang-kurangnya 45 negara, dengan peserta pameran Malaysia merangkumi kira-kira 70 peratus dan peserta pameran antarabangsa sebanyak 30 peratus.

MATRADE akan memudah cara pertemuan antara 600 syarikat Malaysia dan 300 pembeli antarabangsa menerusi Program Sumber Antarabangsa, dengan menjangkakan kira-kira 4,000 mesyuarat pemadanan perniagaan.

Daripada jumlah pembeli antarabangsa itu, 50 adalah pembeli premium dari pasaran, termasuk Kanada, Chile dan Brazil, dengan jumlah hasil tahunan tergabung kira-kira RM500 bilion.

Sebanyak 18, atau kira-kira 36 peratus, adalah pembeli berulang, manakala selebihnya adalah pembeli premium baharu.

Abu Bakar berkata kepelbagaian pasaran and produk akan kekal penting dalam persekitaran ekonomi global semasa, dengan MIHAS menampilkan 14 kelompok produk dan perkhidmatan pada tahun ini.

Selain makanan dan minuman, pameran itu akan merangkumi sektor termasuk kewangan Islam, logistik halal, peralatan dan jentera, barangan pengguna, farmaseutikal, kosmetik dan penjagaan kulit.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pensijilan halal kekal sebagai asas kepada pembangunan dan pengkomersialan industri halal.

Beliau berkata sistem pensijilan halal Malaysia dibezakan oleh pengawasan dan penguatkuasaan kerajaan, dengan audit berkala dijalankan untuk memelihara integriti perniagaan diperakui halal.

Sirajuddin berkata Malaysia juga terus mengkaji semula piawaian halal supaya seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri yang berubah.

“Piawaian itu tidak statik. Teknologi berubah setiap hari.

“Sebab itulah...setiap lima tahun, kami meningkatkan piawaian JAKIM. Kami mengemas kininya kepada teknologi terkini yang digunakan oleh industri, kata Sirajuddin.

Beliau berkata keyakinan terhadap pensijilan halal Malaysia melangkaui pengguna Muslim, dengan status halal semakin dikaitkan dengan ciri-ciri seperti kebersihan, kualiti dan integriti.

“Pemahaman dan kepercayaan itu sudah pun wujud. Sehubungan itu, kita perlu mengekalkan ini dan menaik tarafnya,” katanya.

-- BERNAMA