Bursa Malaysia Kekal Mendatar Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal mendatar pada tengah hari ini berikutan pelabur terus berhati-hati dalam musim pelaporan prestasi kewangan dengan memantau pencapaian pendapatan, trend kualiti aset dan prospek korporat.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 0.25 mata kepada 1,736.23 daripada 1,736.48 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.83 mata kepada 1,738.31 dan turun naik antara 1,733.23 dan 1,739.47 pada sesi dagangan pagi.
Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 643 berbanding 381 manakala 543 kaunter tidak berubah, 1,307 tidak diniagakan dan 46 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.03 bilion unit bernilai RM1.45 bilion.
Kenanga Investment Bank Bhd memaklumkan tumpuan pasaran pada minggu dagangan yang singkat berikutan cuti umum akan beralih kepada baki pengumuman keputusan kewangan korporat bagi suku kedua 2026 terutamanya daripada saham wajaran tinggi perbankan.
“Dari aspek luaran, ketegangan di Asia Barat dan hala tuju hasil bon global akan terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi sentimen pelabur.
“Secara ringkasnya, kami menjangka FBM KLCI akan mengukuh dengan kecenderungan meningkat pada minggu ini, disokong oleh momentum mingguan yang lebih baik dan kedudukannya melebihi purata bergerak mudah (SMA) jangka pendek dan sederhana,” menurutnya dalam nota penyelidikan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM10.62, Public Bank meningkat satu sen kepada RM5.10, CIMB Group mendatar pada RM7.95, Tenaga Nasional menurun 16 sen kepada RM14.24 dan IHH Healthcare berkurangan 11 sen kepada RM8.17.
Dalam senarai kaunter paling aktif, NationGate menambah sembilan sen kepada RM1.50, NexG menurun 4.5 sen kepada 27.5 sen dan Dagang NeXchange berkurangan 2.5 sen kepada 48.5 sen. AirAsia merosot 3.5 sen kepada 77.5 sen dan Zetrix AI mendatar pada 65 sen.
Kaunter paling untung ialah Concrete Engineering Products menambah 26 sen kepada RM3.90, Sunway Construction dan Kuala Lumpur Kepong, masing-masing naik 22 sen kepada RM8.12 dan RM21.86, Sarawak Plantation dan Dutch Lady Milk Industries, masing-masing meningkat 20 sen kepada RM4.74 dan RM32.
Kaunter paling rugi ialah Malaysian Pacific Industries menurun RM1.64 kepada RM41.56, Allianz Malaysia berkurangan 68 sen kepada RM21.60, Hong Leong Industries merosot 36 sen kepada RM17.26, Petronas Dagangan menyusut 34 sen kepada RM19.28 dan KPJ Healthcare berkurangan 32 sen kepada RM2.80.
Di papan indeks, Indeks FBM ACE merosot 29.66 mata kepada 5,304.13, Indeks FBM 70 menurun 71.46 mata kepada 18,079.57 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 9.59 mata kepada 12,632.20.
Indeks FBM Emas menurun 12.41 mata kepada 12,819.87 dan Indeks FBM Top 100 merosot 13.91 mata kepada 12,637.01.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 6.33 mata kepada 20,271.73 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.73 mata kepada 187.95.
Indeks Perladangan naik 27 mata kepada 9,467.65 dan Indeks Tenaga meningkat 0.82 mata kepada 777.85.
-- BERNAMA