Bank Muamalat Buka Cawangan Baharu Di Kuala Selangor
SHAH ALAM, 24 Ogos (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) terus memperluas akses kepada perkhidmatan perbankan Islam menerusi pembukaan rasmi cawangan Kuala Selangor hari ini.
Pembukaan cawangan baharu tersebut disempurnakan oleh Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Khairul Kamarudin, ianya sekali gus memperkukuhkan kehadirannya di Selangor bagi memenuhi keperluan kewangan masyarakat, usahawan serta perniagaan tempatan.
Menurut Khairul, cawangan baharu itu akan menyediakan akses perbankan yang lebih mudah kepada pelanggan di Kuala Selangor dan kawasan sekitarnya termasuk Bestari Jaya, Tanjong Karang, Ijok serta Jeram.
Pemilihan Kuala Selangor sebagai lokasi cawangan terbaharu merupakan keputusan yang tepat dan strategik, selepas mengambil kira potensi pertumbuhan serta kepelbagaian aktiviti ekonominya.
“Kuala Selangor mempunyai prospek pertumbuhan yang amat memberangsangkan.
“Kehadiran Bank Muamalat di sini bukan sekadar untuk menyediakan perkhidmatan perbankan, malah ia mahu menjadi rakan kewangan yang dipercayai oleh masyarakat, usahawan dan perniagaan tempatan dalam merealisasikan potensi mereka,” katanya menerusi satu kenyataan.
Pembukaan cawangan itu dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat dengan memperluas akses kepada penyelesaian kewangan dan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pemain industri dalam sektor pertanian, perikanan, pelancongan serta makanan halal.
Selain itu, beliau berkata Bank Muamalat komited untuk menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan, meningkatkan keterangkuman kewangan dan memperluas penggunaan penyelesaian kewangan Islam yang bertanggungjawab demi kesejahteraan masyarakat.
Cawangan Kuala Selangor menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan perbankan Islam yang komprehensif merangkumi akaun semasa, simpanan serta pelaburan, pembiayaan perumahan, pembiayaan peribadi, pembiayaan kenderaan, pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB), kad debit dan kad kredit-i.
Ini juga termasuk khidmat pembiayaan perniagaan dan PMKS, Ar-Rahnu, Muamalat Gold-i, unit amanah, perancangan kewangan serta perlindungan takaful turut disediakan.
Di samping itu, Bank Muamalat turut menyediakan perkhidmatan sebagai ejen rasmi Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Lembaga Tabung Haji, kemudahan pembayaran zakat serta perkhidmatan transaksi perbankan harian.
Sempena majlis tersebut, Bank Muamalat hari ini turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Kempen Save2Win sebagai penghargaan atas sokongan berterusan pelanggan terhadap produk simpanan institusi kewangan itu.
Bank Muamalat turut menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada penerima yang dikenal pasti sebagai sebahagian daripada komitmen pihak bank dalam menyokong pembangunan dan kesejahteraan komuniti setempat.
-- BERNAMA