BERITA TERKINI   Industri seni tidak terurus satu tragedi, tekan kehidupan seniman - PM Anwar | Seni dan budaya bukan alat propaganda picisan dan murahan - PM Anwar | Acuan Timur perlu kekalkan akhlak, bukan neokonservatif - PM Anwar | Negara yang ingin maju harus terima kenyataan generasi muda mahu suasana yang lebih bebas, terbuka - PM Anwar | Jerebu rentas sempadan: Kerajaan hargai Indonesia benarkan rentas ruang udara bagi pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan - Arthur | 

Pengukuhan Tatakelola TH Penting Untuk Pelihara Keyakinan, Momentum Ekonomi

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Pengukuhan tatakelola Lembaga Tabung Haji (TH) penting daripada perspektif ekonomi, mengambil kira skala dan peranan institusi itu yang mengurus amanah lebih 9.8 juta pendeposit di samping mempunyai kedudukan signifikan sebagai pelabur institusi dalam ekonomi domestik.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata dengan pelaburan melebihi RM96 bilion, tatakelola TH mempunyai implikasi yang lebih luas kepada keyakinan terhadap institusi dan pasaran domestik.

“Keutamaan ialah memastikan pengurusan pelaburan, disiplin kewangan dan pengurusan risiko terus diperkukuh supaya kepentingan pendeposit dapat dilindungi secara mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ad Banner

Beliau berkata perkembangan susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi berkaitan TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 perlu dilihat dalam konteks usaha berterusan untuk memperkukuh tatakelola, kebertanggungjawaban dan keyakinan terhadap institusi negara.

Akmal Nasrullah berkata kerajaan menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan sebarang tindakan berkaitan hendaklah dilaksanakan berlandaskan undang-undang serta diserahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan.

Menurut TH, sehingga awal Ogos 2026, lebih 75 peratus daripada syor RCI telah dilaksanakan manakala pelaksanaan baki syor penambahbaikan sedang diteruskan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Akmal Nasrullah berkata usaha memperkukuh insititusi adalah selari dengan kerangka Ekonomi MADANI dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), 2026-2030, yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan.”

Menurutnya RMK13 meneruskan aspirasi Ekonomi MADANI melalui usaha menaikkan siling pertumbuhan ekonomi, menaikkan lantai darjat hidup rakyat serta memperkukuh tatakelola baik.

“Pengukuhan institusi menjadi semakin penting ketika ekonomi Malaysia sedang mencatat momentum pertumbuhan yang kukuh.

“Ekonomi berkembang sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026 manakala pertumbuhan bagi separuh tahun ini adalah sebanyak 5.7 peratus berbanding 4.5 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun lalu,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata momentum itu perlu disokong oleh institusi yang berfungsi dengan baik, kepastian dasar dan pelaksanaan pembaharuan secara konsisten bagi mengekalkan keyakinan perniagaan dan pelabur serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Beliau berkata Kementerian Ekonomi akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan RMK13, khususnya bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing, mempercepat pelaburan berkualiti serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi supaya pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan dan darjat hidup rakyat.

-- BERNAMA