BERITA TERKINI   Industri seni tidak terurus satu tragedi, tekan kehidupan seniman - PM Anwar | Seni dan budaya bukan alat propaganda picisan dan murahan - PM Anwar | Acuan Timur perlu kekalkan akhlak, bukan neokonservatif - PM Anwar | Negara yang ingin maju harus terima kenyataan generasi muda mahu suasana yang lebih bebas, terbuka - PM Anwar | 

Zetrix AI Raih Untung Bersih Lebih Tinggi Pada RM269.25 Juta Bagi Suku Kedua

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Zetrix AI Bhd (Zetrix AI) mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM269.25 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 daripada RM199.15 juta dalam tempoh pada 2025.

Perolehan hasilnya turut meningkat kepada RM426.72 juta daripada RM307.90 juta setahun sebelumnya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu memaklumkan Lembaga Pengarah mengumumkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 0.25 sesaham biasa yang akan dibayar pada 20 November 2026.

Ad Banner

Syarikat penyedia perkhidmatan digital dan teknologi itu menyifatkan peningkatan kewangan itu disumbangkan oleh langganan dan perkhidmatan melalui platform kecerdasan buatan (AI) serta fi perkhidmatan aplikasi Web3 yang dijana menerusi platform blockchain Zetrix.

Ini termasuk Infrastruktur Blockchain Malaysia, ZTrade, ZCert, aplikasi pengundian global, pendaftaran dan transaksi identiti digital serta jualan nod dan token Zetrix Layer-1.

Zetrix AI menjangkakan inisiatif blockchain dan AI akan terus memacu pertumbuhan organik bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Di samping itu, menerusi rakan kongsi bermakna seperti International Finance Corporation iaitu cabang sektor swasta kumpulan Bank Dunia, Lembaga Pengarah percaya usaha pengembangan teknologi blockchain dan AI Zetrix ke peringkat global dapat dipercepatkan lagi.

“Menerusi kerjasama dengan China ASEAN AI Lab, Zetrix AI akan menumpukan aspek konvergens Blockchain, AI and Robotics melalui penyetempatan dan pengkhususan semua teknologi ini untuk disesuaikan dengan permintaan pasaran tempatan di serata dunia,” menurutnya.

China-ASEAN AI Lab adalah kerjasama teknologi antara Malaysia dan China yang ditubuhkan oleh Zetrix AI bersama Guangxi Beitou IT Innovation Technology Investment Group, firma milik kerajaan China.

Zetrix AI memaklumkan Lembaga Pengarah syarikat akan terus meninjau usaha bagi memanfaatkan beberapa projek daripada China-ASEAN AI Lab yang boleh ditubuhkan sebagai entiti baharu dengan matlamat untuk disenaraikan di bursa saham antarabangsa seperti Nasdaq di Amerika Syarikat.

“Penyenaraian yang berjaya akan membolehkan syarikat meneroka modal global lebih besar untuk terus melonjakkan kedudukan Zetrix AI dan muncul sebagai salah satu syarikat peneraju AI,” menurutnya.

Pada masa sama, tanpa mengambil kira faktor di luar jangka, Lembaga Pengarah kekal optimis namun berhati-hati terhadap prospek jangka panjang Zetrix AI ketika syarikat itu terus berusaha memperkenalkan perkhidmatan baharu di Malaysia dan di peringkat global.

-- BERNAMA