Belanjawan MADANI 2027: Pertumbuhan Ekonomi Berdaya Tahan Menjana Kesejahteraan Rakyat
Oleh Sharifah Hunaini Syed Ismail, Niam Seet Wei dan S.Kisho Kumari
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2027 Malaysia berjumlah RM459.8 bilion bertujuan menterjemahkan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan kepada manfaat nyata untuk rakyat melalui gaji yang lebih baik, sokongan bersasar yang lebih cekap, disiplin fiskal yang lebih kukuh dan langkah agresif ke arah industri bernilai lebih tinggi.
Daripada jumlah keseluruhan belanjawan, sebanyak 30.2 peratus atau RM138.85 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pertahanan.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini berkata ukuran belanjawan bukan pada tebalnya dokumen, besarnya peruntukan atau banyaknya pengumuman.
“Ukurannya malah jauh lebih asas, yakni adakah lebih ramai rakyat dapat hidup dengan bermaruah dan apakah Malaysia yang kita serahkan kelak kepada generasi seterusnya lebih adil daripada Malaysia yang kita warisi,” kata beliau.
Bertemakan, ‘Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, Belanjawan MADANI kelima ini merupakan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), memastikan isi rumah dilindungi melalui bantuan bersasar serta disokong oleh akses yang lebih baik kepada infrastruktur, pendidikan, penjagaan kesihatan, mobiliti dan perlindungan sosial.
Perdana Menteri menegaskan bahawa belanjawan negara adalah pernyataan moral atau Waad (Janji atau Ikrar) Nasional sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab.
Menurut beliau, negara tidak akan meminggirkan mereka yang dihimpit kesusahan dan setiap anak Malaysia, apa pun latar keluarga, wilayah atau kedudukannya berhak melihat dan mencapai potensinya.
“Waad ini juga bukan janji sehala, negara menyediakan ruang dan peluang, rakyat mengisinya dengan ilmu, kerja, daya cipta dan keberanian.
“Pemerintah menjaga amanah, rakyat memperkukuh negara melalui usaha dan kecemerlangan,” kata beliau.
Anwar berkata kerajaan mendengar keresahan golongan pertengahan (M40) yang cekal bersabar meskipun turut terhimpit beban sara hidup.
Justeru, beliau berkata kerajaan menaikkan had pelepasan cukai individu kepada RM12,000 daripada RM9,000 yang tidak disemak sejak 2010.
Pada masa sama, kerajaan mengambil pendekatan progresif dengan menyelaraskan kadar cukai bagi yang berpendapatan tinggi iaitu melebihi RM1 juta kepada 30 peratus.
Berita lanjut menyusul.
--BERNAMA