BERITA TERKINI   Gempa bumi lemah bermagnitud 3.1 dikesan di perairan Batu Pahat pada 4.12 petang - MetMalaysia | 

Rantau Asia-Pasifik Diunjur Tumbuh 4.2 Peratus; Ledakan AI Bantu Serap Kesan Cabaran

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Moody’s Analytics mengunjurkan pertumbuhan di seluruh rantau Asia-Pasifik menyederhana kepada 4.2 peratus tahun ini daripada 4.3 peratus pada 2025 sebelum terus perlahan kepada 3.6 peratus tahun depan.

Hal ini berikutan harga yang lebih tinggi dan dasar yang lebih ketat menjejaskan permintaan.

Firma itu menyatakan buat masa ini, ekonomi Asia-Pasifik bergerak pada dua kelajuan yang berbeza.

Ad Banner

"Lonjakan kecerdasan buatan (AI) membantu rantau ini mengelakkan penurunan pertumbuhan yang lebih ketara. Namun, cabaran terhadap pertumbuhan terus meningkat," jelasnya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Moody’s Analytics memaklumkan lonjakan AI sedang memacu enjin eksport rantau ini dengan permintaan tinggi terhadap semikonduktor dan produk teknologi lain yang mendorong penghantaran di Taiwan, Korea Selatan, China dan sebahagian Asia Tenggara, sekali gus mengimbangi kelemahan di kawasan lain.

Firma penyelidikan itu memberitahu pada separuh pertama tahun ini, eksport barangan nominal dari Korea Selatan dan Taiwan mengatasi eksport Jepun buat kali pertama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, kejutan geopolitik dan perdagangan terus meningkatkan harga dengan konflik di Asia Barat yang berlarutan, Selat Hormuz yang masih ditutup serta tarif import baharu Amerika Syarikat yang mula memberi kesan, jelasnya.

Moody’s Analytics menambah bahawa bank-bank pusat hanya mengetatkan dasar secara sederhana dengan kemungkinan untuk mengetatkannya lagi jika konflik berkenaan berlarutan dan harga minyak kekal tinggi.

Menurutnya, inflasi yang lebih tinggi mengukuhkan alasan untuk melaksanakan dasar monetari yang lebih ketat khususnya apabila ledakan AI mendorong kepada pertumbuhan yang kekal kukuh dan harga aset meningkat terlalu tinggi.

Namun, jelasnya, pertimbangan yang perlu dihadapi oleh bank pusat adalah sukar.

"Kadar faedah yang lebih tinggi mengekang inflasi dengan memulihkan atau meredakan permintaan.

“Pendekatan itu berkesan semasa permintaan pasca pandemik melonjak pesat, tetapi ia jauh kurang efektif sekarang dengan permintaan yang sememangnya lemah dan kadar faedah masih tinggi di kebanyakan rantau ini. Tindakannya, bank-bank pusat hanya mengetatkan dasar secara sederhana tahun ini," tambahnya.

Bagaimanapun, firma tersebut meyakini bahawa konflik di Asia Barat akhirnya akan mereda dan dengan itu lonjakan inflasi sepatutnya bersifat sementara.

-- BERNAMA