Kerjasama Rentas Sektor Perlu Tangani Inflasi Perubatan - Allianz
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Kerjasama lebih erat antara sektor awam dan swasta, syarikat insurans serta hospital diperlukan bagi menangani peningkatan inflasi perubatan dan memastikan kos penjagaan kesihatan kekal mampu ditanggung, kata Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Insurance Malaysia Bhd Giulio Slavich.
Beliau berkata inflasi perubatan yang kekal tinggi boleh menyebabkan kos penjagaan kesihatan semakin tidak mampu ditanggung, khususnya apabila lebih satu pertiga daripada perbelanjaan kesihatan di Malaysia ditanggung sendiri.
“Kerjasama perlu diwujudkan antara sistem awam, sistem swasta, syarikat insurans dan hospital secara bersama.
“Kita semua sedang berusaha untuk duduk bersama bagi mencari penyelesaian yang benar-benar dapat memberi perkhidmatan kepada lebih ramai rakyat Malaysia dan seterusnya membolehkan lebih ramai rakyat mendapat rawatan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita pada Forum Media “Beyond Survival: The Journey from Setback to Comeback” di sini hari ini.
Slavich berkata peratusan tinggi perbelanjaan kesihatan yang ditanggung sendiri bermakna sebilangan rakyat Malaysia berdepan risiko tekanan kewangan apabila keperluan perubatan tidak dijangka timbul.
“Jika dilihat perbelanjaan kesihatan di Malaysia, sebenarnya lebih satu pertiga daripada perbelanjaan kesihatan merupakan perbelanjaan yang ditanggung sendiri.
“Ini bermakna terdapat sebilangan rakyat Malaysia yang mengalami tekanan kewangan kerana apabila sesuatu berlaku kepada mereka, mereka terpaksa menanggung kos berkenaan menggunakan wang sendiri,” katanya.
Beliau berkata sebilangan rakyat Malaysia turut menghadapi kesukaran menanggung tambahan perbelanjaan walaupun dalam jumlah yang agak kecil.
Terdahulu, Slavich berkata meskipun kemajuan dalam bidang perubatan telah meningkatkan kadar kelangsungan hidup, ramai rakyat Malaysia masih tidak bersedia menghadapi kesan kewangan selepas didiagnosis menghidap penyakit kritikal.
“Penyakit kritikal bukan lagi sekadar isu kesihatan. Bagi banyak keluarga, ia bertukar menjadi krisis kewangan. Rawatan perubatan mungkin dapat menyelamatkan nyawa, namun kehilangan pendapatan, susutnya simpanan dan komitmen kewangan yang berterusan boleh menimbulkan cabaran berpanjangan sepanjang tempoh pemulihan,” katanya.
Pada 2025, Allianz Life membayar RM1.33 bilion tuntutan kepada keluarga di Malaysia, manakala data syarikat itu menunjukkan penyakit kritikal semakin banyak berlaku dan menjejaskan rakyat Malaysia pada usia yang semakin muda.
Sejak 2022, bayaran tuntutan penyakit kritikal berkaitan kanser meningkat 29 peratus, strok 95 peratus dan penyakit jantung 22 peratus.
Allianz Life baru-baru ini melancarkan HealthCover Prime, penyelesaian terbaharunya bagi penyakit kritikal yang direka untuk memberikan perlindungan kewangan lebih kukuh kepada rakyat Malaysia daripada kesan jangka panjang akibat masalah kesihatan serius.
Sehubungan itu, Slavich berkata pelan asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) yang bakal diperkenalkan boleh menyediakan pilihan lebih mampu milik kepada rakyat Malaysia yang ketika ini tidak mempunyai perlindungan insurans perubatan swasta.
“Idea pelan itu sebenarnya adalah untuk membantu golongan ini membuat persediaan menghadapi sesuatu kejadian kerana mereka tidak membeli perlindungan insurans kesihatan swasta, memandangkan produk komprehensif berada di luar kemampuan mereka,” katanya.
Inisiatif MHIT kini dalam fasa perintis sebelum pelaksanaannya di seluruh negara pada awal 2027 bagi membantu menangani jurang struktur dalam sistem penjagaan kesihatan, manakala mekanisme bayaran bersama berperingkat bertujuan menggalakkan pesakit mendapatkan rawatan di hospital yang mengenakan caj sederhana dan telus.
Slavich berkata pelan asas MHIT akan menawarkan tahap kemampuan yang berbeza, selain menggabungkan langkah yang bertujuan membendung inflasi perubatan.
Beliau berkata langkah itu boleh merangkumi akses kepada hospital swasta yang ditetapkan dan menawarkan perkhidmatan pada kos lebih rendah, selain mekanisme kawalan kos lain yang sedang dibangunkan sebagai sebahagian daripada usaha reformasi penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh.
-- BERNAMA