BERITA TERKINI   Liga Super: JDT 9-0 Kelantan TRW FC | Banjir Nepal: 11 rakyat Malaysia di Rasuwa tidak dapat dihubungi - Wisma Putra  | RCI: Bekas Pengerusi TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan ditahan bagi bantu siasatan - KP SPRM | Institusi pendidikan perlu peka, pantau bacaan IPU dan status terkini laman sesawang Jabatan Alam Sekitar - KPM | keuntungan bersih Petronas Gas Bhd meningkat kepada RM453.33 juta pada suku kedua 2026 daripada RM450.19 juta pada suku kedua 2025 | 

Untung Bersih IJM Naik Kepada RM137.39 juta Pada Suku Pertama Tahun Kewangan 2027

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih IJM Corporation Bhd (IJM Corp) bagi suku pertama, berakhir pada 30 Jun, 2026 (suku pertama tahun kewangan 2027) meningkat kepada RM137.39 juta daripada RM95.60 juta dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas, didorong oleh bahagian pembinaan, pengilangan serta kuari.

Pendapatan berkembang kepada RM2.29 bilion daripada RM1.73 bilion pada suku yang sama sebelum ini.

IJM Corp dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini memaklumkan bahawa pendapatan bagi segmen pembinaan menokok sebanyak 36.2 peratus pada suku pertama tahun kewangan 2027 berbanding suku pertama tahun kewangan 2026, didorong oleh aktiviti kerja-kerja pembinaan yang lebih tinggi seiring dengan nilai perolehan kontrak lebih kukuh, manakala bahagian keuntungan lebih tinggi daripada usaha sama dan keuntungan pertukaran mata wang asing turut menyumbang kepada peningkatan perolehan.

Ad Banner

Sementara itu, pendapatan daripada bahagian pembangunan hartanah serta pengilangan dan kuari masing-masing meningkat sebanyak 38.5 peratus dan 42.3 peratus pada suku pertama tahun kewangan 2027 berbanding suku pertama tahun kewangan 2026, kebanyakannya disebabkan oleh penyempurnaan penjualan sebidang tanah di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan penghantaran cerucuk serta konkrit siap campur yang lebih tinggi.

IJM Corp telah mengisytiharkan dividen khas tunggal sebanyak 10 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac, 2027, ia akan dibayar pada 15 Oktober, 2026.

Mengenai prospek, syarikat itu memaklumkan bahawa bahagian pembinaan dijangka menunjukkan prestasi kukuh pada tahun kewangan 2027, disokong oleh buku pesanan yang utuh sebanyak RM14.5 bilion, merangkumi pusat data berskala besar, kemudahan pembuatan termaju dan gudang serta projek infrastruktur jalan raya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Prospek bahagian hartanah kekal berhati-hati dalam persekitaran pasaran semakin perlahan, didorong oleh sentimen pengguna yang lemah dan ketidaktentuan global, menurut kenyataan itu.

“Untuk mengharungi cabaran itu, bahagian tersebut akan terus mengukuhkan strategi pasaran yang responsif dan meningkatkan pembezaan produk supaya selaras dengan jangkaan pembeli serta tahap kemampuan yang terus berubah, dengan objektif untuk mencapai prestasi lebih baik.

“Prestasi bahagian itu dijangka meningkat tahun ini disokong oleh jualan hartanah belum dijelaskan (merujuk kepada nilai jualan yang masih belum diterjemahkan sepenuhnya kepada bil kutipan) dan jualan tanah kira-kira RM2.2 billion serta membangunkan portfolio hartanah pelaburannya,” menurut IJM Corp.

Menurut IJM Corp, bahagian industri dijangka mengekalkan prestasi kukuh, manakala bahagian tol (sektor infrastruktur tol jalan raya) akan terus menyediakan hasil yang stabil dan keterlihatan pendapatan jangka panjang.

“Bahagian pelabuhan dijangka pulih secara beransur-ansur dipacu oleh pengoperasian semula aktiviti perniagaan secara progresif oleh pelanggan utama,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA