Ringgit Meningkat Berbanding Dolar AS Susulan Hasil Perbendaharaan AS Lemah
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Rabu, disokong oleh hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah menjelang simposium Jackson Hole Rizab Persekutuan AS (Fed).
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0240/0280 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0405/0440 pada Isnin. Pasaran ditutup pada Selasa sempena cuti umum Maulidur Rasul.
Ahli strategi global Quintex Intel, Stephen Innes berkata hasil Perbendaharaan AS yang lebih lemah telah membantu ringgit melonjak hampir setengah peratus lebih kukuh.
“Data aliran menyokong pandangan itu, dengan angka Bank Negara menunjukkan kira-kira RM3 bilion pengumpulan bon bukan pemastautin Malaysia pada 19 Ogos, termasuk kira-kira RM2.1 bilion dalam bon kerajaan dan RM950 juta lagi dalam bon korporat.
“Jadi saya fikir kenaikan hari ini disokong faktor global dan juga aliran masuk portfolio ke Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Para pelabur akan memantau rapat Simposium Jackson Hole yang berlangsung dari 27-29 Ogos 2026 kerana ia boleh memberi petunjuk tentang perkembangan kadar faedah Fed.
Jika Fed memberikan bayangan penurunan kadar, dolar AS dijangka menyusut yang seterusnya akan memberi rangsangan kepada ringgit.
"Memandangkan inflasi AS yang perlahan, jualan runcit AS yang lebih lemah, pasaran tidak menjangkakan kadar akan dinaikkan,” katanya.
Sementara itu, ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit meningkat berbanding dolar AS hari ini memandangkan prospek kenaikan kadar faedah oleh Fed pada September kelihatan agak rendah.
Beliau berkata hasrat Jabatan Perbendaharaan AS untuk melakukan intervensi dalam pasaran bon bagi mengurangkan bon Perbendaharaan AS 30 tahun menunjukkan bahawa persekitaran kadar faedah lebih tinggi tidak memberikan prospek yang baik bagi kewangan kerajaan.
“Justeru, tumpuan kini akan terarah pada ucapan Warsh pada Jumaat semasa Simposium Jackson Hole untuk melihat sebarang bayangan berkaitan kadar faedah,” katanya.
Pada penutup dagangan ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama lain.
Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5308/5335 daripada paras penutup 2.5380/5402 pada Isnin, naik berbanding pound Brittain kepada 5.4827/4882 daripada 5.5080/5128 dan menokok berbanding euro kepada 4.6940/6987 daripada 4.7132/7173.
Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1683/1717 daripada paras penutup 3.1805/1835 pada Isnin, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 227.0/227.3 daripada 227.9/228.3, menambah berbanding peso Filipina kepada 6.52/6.54 daripada 6.55/6.56 dan menokok berbanding baht Thai kepada 12.2791/2959 daripada 12.3589/3742.
-- BERNAMA