BERITA TERKINI   17 rakyat Malaysia antara 291 warga asing dilaporkan hilang susulan banjir di daerah Rasuwa - Lembaga Pelancongan Nepal | 17 RAKYAT MALAYSIA ANTARA 291 WARGA ASING DILAPORKAN HILANG SUSULAN BANJIR DI DAERAH RASUWA - LEMBAGA PELANCONGAN NEPAL | Liga Super: JDT 9-0 Kelantan TRW FC | Banjir Nepal: 11 rakyat Malaysia di Rasuwa tidak dapat dihubungi - Wisma Putra  | RCI: Bekas Pengerusi TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan ditahan bagi bantu siasatan - KP SPRM | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah, Menjejaki Penurunan Harga Minyak Sayuran

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Rabu, menjejaki harga minyak sayuran global yang lebih rendah susulan cuti umum di Malaysia semalam.

Pasaran ditutup semalam sempena cuti umum Maulidur Rasul.

Ad Banner

Ketua penyelidikan komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata pasaran turut tertekan oleh prestasi eksport minyak sawit Malaysia yang lebih lemah daripada jangkaan bagi tempoh 1-25 Ogos, ditambah pula dengan kadar pengeluaran yang menurun lebih perlahan daripada jangkaan.

“Ketiadaan permintaan baharu di tengah-tengah urus niaga MSM pada harga premium berbanding  'gasoil' (bahan api petroleum yang hampir sama dengan diesel) dan pada paras setara atau lebih tinggi daripada harga minyak kacang soya, turut memberi kesan kepada sentimen pasaran,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Anilkumar berkata pasaran kini menunggu data pengeluaran minyak sawit daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) bagi tempoh 1-20 Ogos untuk mendapatkan petunjuk yang seterusnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut beliau, eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1-25 Ogos yang dianggarkan oleh Intertek Testing Services (ITS) sebanyak 1.05 juta tan, turun 20 peratus berbanding tempoh yang sama pada Julai.

Sementara itu, UOB Kay Hian menganggarkan pengeluaran minyak sawit Malaysia bagi 1 hingga 20 Ogos berada dalam julat antara penurunan tiga peratus dan peningkatan satu peratus berbanding tempoh 1 hingga 20 Julai, tambahnya.

Pada penutup dagangan, kontrak September 2026 susut RM90 kepada RM4,630 setan, Oktober 2026 turun RM98 kepada RM4,761 setan, manakala kontrak November 2026 merosot RM94 kepada RM4,852 setan.

Kontrak Disember 2026 menyusut RM82 kepada RM4,931 setan, Januari 2027 berkurangan RM68 kepada RM4,996 setan dan Februari 2027 susut RM58 kepada RM5,041 setan.

Jumlah dagangan bagaimanapun meningkat kepada 114,373 lot daripada 79,190 lot, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 348,842 kontrak daripada 343,401 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi September Selatan susut RM70 kepada RM4,640 setan.

-- BERNAMA