Pelajar MBA China Bantu Murid Berkeperluan Khas Cipta Peluang Kerjaya
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Sekumpulan pelajar pascasiswazah dari tanah besar China di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil inisiatif memperkasa murid berkeperluan khas melalui kemahiran vokasional yang berpotensi membantu mereka mendapatkan pekerjaan dan meningkatkan taraf ekonomi selepas tamat persekolahan.
Ketua projek, Wu Nan berkata inisiatif itu bukan sahaja memberi sokongan kepada murid berkeperluan khas di sebuah sekolah di Ampang, Selangor, malah menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan persahabatan antara Malaysia dan China di peringkat komuniti.
Beliau berkata kumpulan itu mengumpulkan sumber bagi membeli kerusi urut, peralatan dan perabot untuk digunakan murid berkenaan dalam pembelajaran asas refleksologi.
Wu Nan, yang berasal dari Wuhan, Hubei, berkata kumpulan itu mengambil inisiatif berkenaan kerana menyedari cabaran yang dihadapi murid berkeperluan khas untuk mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan persekolahan.
Seramai 10 pelajar daripada program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Graduate School of Business-UKM (GSB-UKM-MBA) melaksanakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu di bawah bimbingan pensyarah kanan mereka, Profesor Mazzlida Mat Deli.
“Kemahiran refleksologi ini boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan dan meningkatkan taraf ekonomi murid berkenaan,” kata Wu Nan.
Murid berkeperluan khas yang menerima manfaat projek itu ialah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik di Ampang, Selangor.
Pengetua sekolah itu, Puan Norhayati Zakaria berkata dalam majlis penyerahan peralatan berkenaan bahawa sekolah tersebut antara institusi pendidikan di Selangor yang melaksanakan kelas pendidikan khas untuk murid berkeperluan khas.
Wu Nan berkata projek itu bertujuan membantu murid berkenaan mendapatkan pekerjaan dengan lebih mudah, selain mewujudkan persekitaran pembelajaran yang profesional dan selesa bagi latihan vokasional.
“Kami giat mengumpul sumber dan memperluas pusat latihan urutan yang terletak di bangunan berasingan dalam kawasan sekolah,” katanya.
Kemahiran vokasional perkasa potensi murid
Antara sumbangan yang disediakan termasuk peralatan pendingin hawa bagi memastikan persekitaran rawatan lebih selesa, sofa untuk ruang pengajaran dan rehat, kerusi urut profesional, kerusi serta kemudahan berkaitan.
Norhayati berkata murid berkeperluan khas di sekolah itu turut didedahkan kepada beberapa kemahiran selain pembelajaran teras, yang dapat membantu memperluas peluang kerjaya mereka selepas tamat persekolahan.
Selain refleksologi, mereka turut mempelajari asas urutan, jahitan, memasak dan berkebun.
Sekolah itu kini mempunyai 143 murid berkeperluan khas daripada jumlah keseluruhan enrolmen melebihi 3,000 murid.
Wu Nan berkata kumpulan projeknya terdiri daripada pelajar dari pelbagai wilayah di China yang bersyukur kerana diberi peluang melanjutkan pengajian di Malaysia.
Menurutnya, projek CSR selama 12 minggu itu merupakan satu cara untuk mereka menyumbang kembali kepada Malaysia sebagai tanda penghargaan atas peluang mengikuti program MBA di UKM.
Perkukuh hubungan Malaysia-China di peringkat komuniti
Wu Nan berkata usaha memperkasa murid berkeperluan khas dari segi ekonomi membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan negara mengikut kemampuan masing-masing, selaras dengan aspirasi keterangkuman Malaysia menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2026.
Beliau berkata lebih daripada itu, inisiatif berkenaan turut berpotensi memperkukuh persahabatan antara rakyat Malaysia dan China di peringkat akar umbi, selain membantu golongan yang memerlukan.
Li DongChen, seorang lagi pelajar GSB-UKM-MBA yang juga guru matematik di China, berkata projek itu membuktikan pelajar China yang melanjutkan pengajian di Malaysia bukan sahaja memberi tumpuan kepada kemajuan akademik, malah aktif mengintegrasikan diri dengan masyarakat tempatan.
Beliau berkata Malaysia sentiasa menunjukkan sikap mesra, terbuka dan baik hati terhadap pelajar China.
“Ini adalah tanda penghargaan ikhlas kami dan hadiah buat sahabat Malaysia daripada kami sebagai pelajar antarabangsa,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi anggota kumpulan lain yang terdiri daripada Meng Xiao, Zhang Junhui, Yu Aizhuo, Tang Yiyang, Lizishuo, Yu Jia Wei, Jiang Boyang dan Liu Ming Yu.
Wu Nan berkata beliau berharap projek berkenaan dapat membantu murid berkeperluan khas menyedari nilai diri mereka, selain mencerminkan tanggungjawab sosial dan nilai praktikal yang diterapkan melalui program MBA.
“Apa yang diperlukan ialah kerjasama lebih erat antara sekolah dan perusahaan serta sokongan masyarakat yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata kumpulan itu turut meneroka kerjasama dengan pengamal refleksologi dan syarikat berkaitan bagi menyediakan latihan, bimbingan serta pendedahan keusahawanan dan pembangunan kemahiran pada masa hadapan.
“Usaha meningkatkan daya saing murid berkenaan untuk mendapatkan pekerjaan serta keupayaan bekerja sendiri akan banyak membantu perkembangan kerjaya mereka,” katanya.
-- BERNAMA