BERITA TERKINI   Beberapa kawasan kekal berisiko alami jerebu dengan jarak penglihatan terhad pada 27 hingga 31 Ogos - KP MetMalaysia | Sambutan Hari Kebangsaan: Kepekatan jerebu yang tinggi berpotensi berlaku di Putrajaya sehingga 31 Ogos - KP MetMalaysia | Banjir Nepal : Wisma Putra gesa orang awam henti spekulasi, kongsi maklumat tidak sahih | Majlis Amanat Perdana akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 9.30 malam, 30 Ogos ini - Jawatankuasa Kerja Sambutan HKHM | Seramai 4,008 pelarian Myanmar akan didaftarkan di bawah Program Dokumen Pendaftaran Pelarian, proses dijangka selesai suku keempat tahun ini - KDN | 

Maybank Catat Untung Bersih RM2.69 Bilion Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 meningkat 2.4 peratus kepada RM2.69 bilion daripada RM2.62 bilion pada suku yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, hasil kumpulan susut 5.8 peratus kepada RM16.07 bilion daripada RM17.07 bilion sebelumnya, menurut Maybank dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pendapatan faedah bersih dan pendapatan perbankan Islam bagi suku kedua 2026 meningkat RM5.0 juta atau 0.1 peratus kepada RM5.38 bilion berbanding RM5.37 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

Ad Banner

Hasil perkhidmatan insurans dan takaful pula berkurang RM86.5 juta kepada RM308.0 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan operasi lain meningkat RM250.2 juta kepada RM2.92 bilion, terutamanya disumbangkan keuntungan nilai pasaran belum direalisasikan daripada penilaian semula derivatif sebanyak RM2.13 bilion dan keuntungan lebih tinggi daripada pelupusan aset kewangan pada Nilai Saksama Melalui Untung atau Rugi (FVTPL) sebanyak RM630.4 juta.

Maybank memaklumkan peningkatan itu bagaimanapun diimbangi oleh kerugian nilai pasaran belum direalisasikan daripada penilaian semula liabiliti kewangan pada FVTPL, keuntungan bersih pertukaran asing yang lebih rendah, kerugian nilai pasaran belum direalisasikan daripada penilaian semula pelaburan kewangan pada FVTPL, keuntungan bersih lebih rendah daripada pelupusan pelaburan kewangan pada Nilai Saksama Melalui Pendapatan Komprehensif Lain (FVOCI), serta keuntungan direalisasikan lebih rendah daripada derivatif.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Perbelanjaan overhed kumpulan bagi suku berkenaan turun RM95.9 juta atau 2.5 peratus kepada RM3.68 bilion, terutamanya berikutan perbelanjaan kakitangan, pemasaran serta pentadbiran dan am yang lebih rendah.

Bank itu turut mencatatkan pembalikan bersih kerugian rosot nilai pelaburan kewangan sebanyak RM62.4 juta berbanding peruntukan bersih RM43.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Bagi tempoh kumulatif enam bulan pertama 2026, Maybank mencatatkan keuntungan bersih RM5.17 bilion berbanding RM5.21 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya, manakala hasil susut kepada RM30.99 bilion daripada RM33.95 bilion.

Dari segi prospek, Maybank kekal optimistik secara berhati-hati dan akan terus mengimbangi pertumbuhan bertanggungjawab dengan pengurusan berhemat terhadap kualiti aset, modal dan kecairan.

Berteraskan strategi ROAR30, Maybank akan terus memperkukuh perniagaan terasnya di pasaran domestik selain mempertingkat integrasi rangkaian serantau bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan di seluruh rantau.

Keutamaan pertumbuhan kumpulan kekal tertumpu kepada pengembangan perniagaan serantau yang boleh dikembangkan dalam bidang kewangan Islam, pengurusan kekayaan, transaksi dan pembayaran, serta perbankan korporat dan pelaburan.

-- BERNAMA