BERITA TERKINI   Beberapa kawasan kekal berisiko alami jerebu dengan jarak penglihatan terhad pada 27 hingga 31 Ogos - KP MetMalaysia | Sambutan Hari Kebangsaan: Kepekatan jerebu yang tinggi berpotensi berlaku di Putrajaya sehingga 31 Ogos - KP MetMalaysia | Banjir Nepal : Wisma Putra gesa orang awam henti spekulasi, kongsi maklumat tidak sahih | Majlis Amanat Perdana akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 9.30 malam, 30 Ogos ini - Jawatankuasa Kerja Sambutan HKHM | Seramai 4,008 pelarian Myanmar akan didaftarkan di bawah Program Dokumen Pendaftaran Pelarian, proses dijangka selesai suku keempat tahun ini - KDN | 

Untung Bersih Hap Seng Consolidated Suku Kedua Susut Kepada RM135.08 Juta

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Hap Seng Consolidated Bhd susut kepada RM135.08 juta pada suku kedua 2026 berakhir 30 Jun 2026 daripada RM143.68 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan sumbangan keuntungan yang lebih rendah daripada bahagian Hartanah dan Bahan Bangunan lebih daripada mengimbangi peningkatan sumbangan daripada bahagian Perladangan, Automotif dan Perdagangan.

Hasil bagaimanapun meningkat enam peratus kepada RM1.37 bilion daripada RM1.29 bilion pada suku kedua 2025.

Ad Banner

Bagi separuh pertama 2026 berakhir 30 Jun 2026, keuntungan bersih Hap Seng menurun kepada RM229.81 juta daripada RM245.35 juta pada tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil meningkat kepada RM2.56 bilion daripada RM2.47 bilion sebelumnya.

Mengulas prospek, Hap Seng yang terlibat dalam perniagaan perladangan, hartanah, pembiayaan, automotif dan perdagangan menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal kukuh pada separuh kedua 2026.

“Momentum ini disokong oleh harga minyak mentah yang tinggi susulan ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat, peningkatan mandat biodiesel di Indonesia dan Malaysia serta diskaun harga MSM yang menarik berbanding minyak makan utama yang lain.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Selain itu, pengisian semula stok minyak sawit oleh India, negara pengimport minyak sawit utama, menjelang beberapa perayaan dari Ogos hingga November 2026, serta corak cuaca El Niño yang semakin menguat dijangka mengetatkan bekalan MSM dan mengurangkan risiko penurunan harga,” menurutnya.

Bagi sektor hartanah, Hap Seng memaklumkan pasaran Malaysia dijangka mengekalkan momentum pada separuh kedua 2026, disokong keadaan pekerjaan yang stabil, pembangunan infrastruktur yang berterusan serta inisiatif kerajaan untuk menggalakkan pemilikan rumah dan aktiviti pelaburan.

Mengenai industri automotif Malaysia, syarikat itu menjangkakan sektor berkenaan kekal kukuh pada separuh kedua 2026, disokong permintaan pengguna yang berterusan, keadaan ekonomi yang stabil serta pertumbuhan segmen kenderaan berkuasa elektrik.

Menurut Hap Seng, Persatuan Automotif Malaysia telah menaikkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) daripada 790,000 unit kepada 800,000 unit, dengan TIV pada separuh kedua 2026 dijangka mengatasi separuh pertama sebanyak 7.6 peratus.

Hap Seng memaklumkan syarikat akan terus memantau perkembangan ekonomi global dan domestik susulan ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat bagi mengurus cabaran operasi merentasi semua segmen perniagaannya.

-- BERNAMA