Untung Bersih IHH Healthcare Bagi Suku Kedua Meningkat 29 Peratus Kepada RM573 Juta
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih IHH Healthcare Bhd (IHH Healthcare) meningkat kepada RM573 juta bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2026 daripada RM443 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, mewakili peningkatan 29 peratus tahun ke tahun.
Perolehan bagi suku dalam tinjauan meningkat sebanyak 12 peratus kepada RM7.05 bilion daripada RM6.30 bilion sebelumnya, didorong oleh prestasi yang lebih kukuh dalam segmen hospital dan penjagaan kesihatan.
“Perolehan bagi hospital dan penjagaan kesihatan bagi suku kedua bagi tahun kewangan 2026 meningkat tujuh peratus kepada RM6.57 bilion, didorong oleh permintaan yang berterusan bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti, campuran kes pesakit yang lebih akut dan pelarasan harga untuk mengatasi inflasi.
“Penggabungan Bayindir Healthcare, TMI Healthcare dan Biruni Labs, yang diambil alih selepas suku kedua tahun kewangan 2025, turut menyumbang kepada peningkatan hasil," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi separuh pertama 2026, keuntungan bersih kumpulan itu meningkat kepada RM1.10 bilion daripada RM957 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala perolehan meningkat lapan peratus kepada RM13.60 bilion daripada RM12.59 bilion sebelumnya, disumbangkan oleh prestasi hospital dan penjagaan kesihatan yang lebih kukuh.
Kumpulan itu turut mengisytiharkan dividen tunai interim satu peringkat sebanyak 5.5 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2026 yang akan dibayar pada 30 Oktober 2026.
Mengenai prospek, IHH Healthcare kekal memberi tumpuan untuk melaksanakan strategi jangka panjang untuk mencapai pertumbuhan yang mampan dan penciptaan nilai.
“Tertakluk kepada perkara yang tidak dijangka, kumpulan ini optimis bahawa ia berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan asasnya yang kukuh, langkah peruntukan modal yang berdisiplin dan portfolio yang pelbagai bagi memberikan pertumbuhan yang mampan serta penciptaan nilai bagi pihak berkepentingan,” menurut kumpulan itu.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IHH Healthcare Dr Prem Kumar Nair berkata kumpulan itu tetap yakin dapat mencapai pulangan ekuiti (ROE) dua digit menjelang 2028.
“Kami mempercepatkan momentum pertumbuhan kami yang kukuh pada suku kedua tahun kewangan 2026 dengan jumlah pesakit yang lebih tinggi dan campuran kes yang lebih kompleks.
“Sebagai sebuah rangkaian multinasional yang unik dan pelbagai, IHH Healthcare berupaya mengatasi ketidaktentuan menerusi strategi yang disasarkan bagi setiap 10 negara, sambil memastikan sinergi peringkat kumpulan dari segi kos, sistem dan kecemerlangan operasi,” tambahnya.
-- BERNAMA