Petron Malaysia Catat Kerugian Bersih RM34.48 Juta Pada Suku Kedua 2026
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (Petron Malaysia) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM34.48 juta pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2026 daripada keuntungan bersih RM40.51 juta bagi suku yang sama tahun lepas.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu menyatakan kerugian bersih itu disebabkan kebergantungannya kepada produk yang diimport dalam persekitaran perniagaan yang mencabar dengan turun naik harga minyak yang ketara serta gangguan bekalan akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat.
“Harga minyak mentah penanda aras Dated Brent mencatat purata US$105 setong pada suku kedua 2026, meningkat 54 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“Bagaimanapun, harga itu merosot 29 peratus kepada US$85 setong pada Jun selepas melonjak ke paras tertinggi US$121 setong pada April ketika konflik di antara Amerika Syarikat/Israel dengan Iran memuncak,” jelas syarikat itu.
Petron Malaysia turut menyambung semula operasi penapisan secara terhad bagi menyokong bekalan tempatan produk terkawal selepas melaksanakan penyelesaian interim untuk mengatasi kekangan operasi sementara pembinaan jeti gantian di Kilang Penapisan Port Dickson sedang dijalankan.
Bagaimanapun, perolehan bertambah kepada RM4.72 bilion pada suku yang dinilai daripada RM3.26 bilion sebelumnya, dipacu oleh harga minyak yang lebih tinggi.
Mengenai prospek, ia memaklumkan bahawa harga minyak yang lebih tinggi dan aktiviti ekonomi global yang lebih lemah dijangka menjejaskan permintaan minyak manakala turun naik harga minyak berkemungkinan berterusan dalam tempoh terdekat di tengah-tengah ketidaktentuan yang masih berlanjutan.
Pengerusi Petron Malaysia Ramon S Ang berkata pihaknya terus memperkukuh daya tahan operasi, pelaksanaan pelan strategik serta pengurusan kos yang berhemah.
“Memandangkan kami berada di landasan yang betul dengan pembinaan jeti produk baharu kami, syarikat akan terus mengoptimumkan pengaturan bagi mengendalikan kilang penapisan kami walaupun berdepan kekangan operasi. Usaha-usaha ini menyokong hala tuju kami ke arah pemulihan,” katanya.
-- BERNAMA